Taman tema komited bantu kerajaan rancakkan semula pelancongan domestik

Selain mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan, taman tema tersebut juga mengehadkan kapasiti resort itu kepada 30 peratus daripada kapasiti biasa.

Taman tema Legoland Malaysia Resort adalah yang pertama di Asia dan yang keenam di seluruh dunia. - Legoland Malaysia Resort | Astro Awani
Tidak lagi sepi dan suram.

Selepas tiga bulan tidak beroperasi, taman tema kini kembali bernyawa!

Malah, kebenaran untuk taman tema air kembali beroperasi mulai 1 Julai dilihat sebagai langkah merancakkan semua sektor pelancongan negara yang teruk terjejas ekoran penularan wabak COVID-19.

Bagaimana industri taman tema boleh menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara?

Bagaimana pula kelaziman baharu yang diterapkan di taman tema?


Pengurus Besar Legoland Malaysia Resort, CS Lim berkata selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan, taman tema tersebut juga mengehadkan kapasiti resort itu kepada 30 peratus daripada kapasiti biasa.

Katanya, semua pengunjung juga diwajibkan mematuhi SOP kelaziman baharu dengan memakai pelitup muka serta menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke taman tema tersebut.

BACA: Legoland dibuka semula kepada pengunjung

“Banyak prosedur yang sudah kami ubah suai terutamanya untuk menjaga kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan para tetamu.

“Antaranya, kami membuat saringan kebersihan di gerai-gerai, di pusat perkhidmatan dan di tempat pembayaran.

“Kami juga meningkatkan rejim pembersihan seperti mensanitasi permukaan yang kerap disentuh sepanjang hari dan sentiasa,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.



Sementara itu, Lim percaya bahawa Legoland mempunyai daya tarikan untuk mendorong rakyat Malaysia untuk berkunjung ke taman tema bertaraf antarabangsa itu.

Katanya, ia sememangnya mampu meningkatkan pelancongan domestik sekali gus menyumbang kepada pemulihan negara.

“Taman tema adalah amat penting untuk mendorong bukan sahaja ekonomi tetapi juga pelancongan domestik kepada Malaysia.

“Sekarang, kami memberikan fokus untuk membantu dan menyokong usaha kerajaan untuk menghidup kembali pelancongan domestik dan menyokong usaha cuti-cuti Malaysia,” ujarnya.

Bagaimanapun, Lim percaya jumlah pengunjung ke Legoland hanya mampu pulih sepenuhnya tahun hadapan.

Bagi menyokong usaha pemulihan, pihaknya juga gigih melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mendorong pelancong tempatan untuk berlibur bersama-sama keluarga tersayang.