Keringat dan usaha anggota barisan hadapan bendung COVID-19 dirai penduduk

Kekangan berada dalam perimeter kediaman masing-masing bukan bermakna tidak dapat langsung berhubung dan menyampaikan suatu isyarat bermakna.

siulan dan sorakan yang kedengaran sekitar jam 8.30 malam itu adalah sebagai tanda sokongan padu terhadap anggota barisan hadapan yang bekerja keras tanpa erti penat lelah. -Foto Shannen Totten | Astro Awani
WALAUPUN negara menerima perkembangan berita yang meresahkan tatkala wabak COVID-19 melanda dunia, jiwa dan semangat rakyat Malaysia tetap kental.

Rakyat Malaysia kini melalui hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Namun, kekangan berada dalam perimeter kediaman masing-masing tidak bermakna mereka langsung tidak berhubung dan menyampaikan isyarat bermakna.

Itu terbukti menerusi satu video tular yang menunjukkan sorakan dan tepukan gemuruh daripada majoriti unit kediaman di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur, pada Ahad.

Menurut seorang penduduk, Shannen Totten, siulan dan sorakan yang kedengaran sekitar jam 8.30 malam itu adalah sebagai tanda sokongan padu terhadap anggota barisan hadapan yang bekerja keras tanpa erti penat lelah.

“Semua memberi sokongan melalui tingkap rumah masing-masing untuk menunjuk perasaan terima kasih kepada barisan hadapan seperti kakitangan perubatan dalam usaha mereka merawat pesakit COVID-19,” katanya kepada wartawan Astro AWANI menerusi aplikasi sosial WhatsApp.


Perintah Kawalan Pergerakan mula berkuat kuasa di Malaysia pada 18 Mac 2020 dan akan berjalan selama 14 hari hingga 31 Mac 2020.