Tetap jual Kasut Emas: "Masa saya susah tiada siapa yang bantu" - Khalid Jamlus

Menurutnya, setakat ini dia menerima bidaan mencecah RM50,000 daripada pembeli di Sabah dan Pantai Timur.

Menurut Khalid, keputusan sukar tersebut perlu dibuat demi kelangsungan hidupnya. - Astro AWANI/Shahir Omar | Astro Awani
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Muhamad Khalid Jamlus menegaskan dia akan tetap menjual Kasut Emas miliknya yang dilelong dalam media sosialnya baru-baru ini.

Tambah legenda pasukan Perak itu, keputusan sukar tersebut perlu dibuat demi kelangsungan hidupnya.

“Saya tak peduli apa orang cakap, masa saya susah tiada siapa yang bantu. Saya buat itu bukan nak salahkan sesiapa, saya buat ini untuk masa depan saya,” ujarnya.

Menurutnya, setakat ini dia menerima bidaan mencecah RM50,000 daripada pembeli di Sabah dan Pantai Timur.

Tegasnya, sekiranya tiada bidaan lebih baik diterima khususnya dari Perak dalam minggu ini, bermakna Kasut Emas bekas penjaring terbanyak Liga Perdana 1 tahun 2002 itu akan ‘terbang ke Sabah’.

“Kalau tiada pertanyaan dalam minggu ini, kalau contoh dari Perak, kalau mungkin ada nak buka muzium untuk barang seperti ini dengan nilai yang betul, saya boleh berikan kepada mereka.

“Kasut Emas itu buruk saja tapi nilainya memang tinggi. Pada waktu itu, saya bersaing dengan pemain import Gred A dari pasukan lain.

“Terpulang bagaimana nak nilaikan kasut itu tapi kalau tiada permintaan dalam minggu ini, saya akan hantar kasut itu ke Sabah,” katanya dalam sidang media di pejabat Timbalan Menteri dan Sukan di sini.

BACA: Lelong kasut emas: Mak, ayah tak sihat, saya lakukan demi keluarga - Khalid Jamlus



Terdahulu, Muhamad Khalid mengadakan pertemuan bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di pejabatnya pada Rabu.


Dalam pada itu, mengulas perbincangannya bersama Wan Ahmad Fayhsal, Muhamad Khalid memberi bayangan akan ada sinar buatnya pada masa akan datang.

Begitupun, dia tidak memperincikan topik perbincangan tersebut namun memberitahu ia masih berkaitan dengan bola sepak.

“Idea Yang Berhormat memang bagus dan yang memang saya nantikan. Takkan saya tak mahu curahkan ilmu dan pengalaman yang saya.

“Saya bukanlah legend mana pun, tapi pengalaman itu yang mahal.

“Nama tak berapa legend tidak mengapa tapi pengalaman itu yang penting untuk dicurahkan kepada anak muda,” katanya.