Pogba kembali sertai latihan bersama United

Peminat the Red Devils teruja Paul Pogba kembali berlatih dengan menggunakan bola.

Kali terakhir Pogba beraksi untuk United adalah pada hujung Disember tahun lepas. - Foto Stadium Astro. | Astro Awani
PEMINAT Manchester United menerima suntikan semangat selepas kelab Liga Perdana Inggeris itu mendedahkan gambar pemain tengah, Paul Pogba, kembali berlatih dengan bola.

Semalam, Pogba dilihat menggelecek semasa United berlatih dalam cuaca panas tatkala pemain Perancis itu berusaha keras untuk mendapatkan kembali kecergasan terbaik selepas mengalami kecederaan kaki.

United memaparkan gambar menerusi media sosial yang melibatkan Anthony Martial, Fred, Daniel James dan lain-lain.

Grafting again


Dalam masa sama, Odion Ighalo dan Juan Mata juga tampak tersenyum walaupun sibuk dengan senaman berbasikal sambil pemain daripada skuad utama bekerja keras untuk mengharungi saingan liga yang bakal disambung.

Kelab Liga Perdana Inggeris kembali menjalani latihan dalam kelompok kecil pada minggu ini selepas majoriti kelab bersetuju untuk menyambung sesi berlatih sebagai sebahagian daripada program Project Restart.

Kecederaan telah menyebabkan Pogba, yang masih samar masa depannya bersama United -- hanya tampil lima kali dalam kesebelasan utama United musim ini.

Kali terakhir bintang berusia 27 tahun itu beraksi dengan United adalah ketika masuk selaku pemain gantian dalam pertemuan dengan Newcastle United sewaktu perayaan Boxing Day.