Khabib hanya terima 'rematch' dengan McGregor jika UFC bayar AS$100 juta

Peminat MMA mungkin akan dapat melihat sekali lagi pertembungan di antara Khabib Nurmagomedov dan Conor McGregor, dengan syarat UFC membayar Khabib AS$100 juta.

Pertarungan di antara Khabib dan McGregor pada UFC 229, Oktober 2018 berakhir dengan McGregor ditundukkan menerusi 'submission'. - Gambar fail/AP | Astro Awani
PEMINAT sukan seni bela diri campuran (MMA) berkemungkinan akan dapat melihat sekali lagi pertembungan di antara Khabib Nurmagomedov dan Conor McGregor, dengan syarat UFC membayar Khabib AS$100 juta (RM406,564,100).

Menurut bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov, Khabib layak menerima bayaran sebanyak itu untuk perlawanan tersebut.

"Kami pun mahu pertarungan semula dengan Conor. Tetapi beri kami AS$100 juta. Selepas perlawanan menentang (Tony) Ferguson nanti, beri kami jumlah itu. Mengapa tidak (bertarung)?

"Saya tidak tahu, mungkin Dana White mahu mengaturnya (untuk jumlah itu), dia memerlukan pertarungan itu," katanya seperti dipetik bloodyelbow yang memetik temubual dari RIA Novosti.

Pertarungan semula Khabib vs McGregor sememangnya menjadi acara yang dinanti-nantikan dan disebut-sebut oleh peminat sukan tempur.

Bagaimanapun, UFC sudah pun mengesahkan perlawanan Khabib, selaku juara dunia lightweight menentang petarung Amerika Syarikat, Tony Ferguson pada acara UFC 249, April ini.

Bagi McGregor pula yang baharu sahaja memenangi perlawanannya menentang Donald Cerrone dalam divisyen welterweight, memberitahu dia akan kekal dalam kategori tersebut untuk beberapa ketika.

BACA: McGregor hanya perlukan 40 saat tumbangkan 'Cowboy' Cerrone

Pertarungan di antara Khabib dan McGregor pada UFC 229, Oktober 2018 berakhir dengan McGregor ditundukkan menerusi 'submission' (kuncian) 'neck crank' pada minit 3.03 pusingan keempat.

Namun, selepas pertarungan, Khabib tiba-tiba naik angin dan membaling 'mouthpiece' ke arah cornerman McGregor.

Dia kemudiannya melompat keluar dari gelanggang dan menyerang pasukan McGregor.

Menurut Khabib, tindakan itu dilakukan selepas dia dihina berbulan-bulan oleh McGregor termasuk serangan bas di Brooklyn.

Petarung dari Dagestan, Rusia itu didenda sebanyak AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung perlawanan selama sembilan bulan, manakala McGregor pula didenda AS$50,000 (RM205,355) dan digantung perlawanan enam bulan.