Kebebasan Hazard cetus kemenangan The Blues

Pemain kebangsaan Belgium itu meledak dua gol ketika membantu penyandang juara EPL bangkit menewaskan skuad kendalian Rafael Benitez yang mendahului perlawanan hasil jaringan daripada Dwight Gayle.

CHELSEA 3 NEWCASTLE UNITED 1

PENGURUS Chelsea, Antonio Conte berasakan Eden Hazard gembira beraksi di atas padang ketika membantu pasukan meraih kemenangan 3-1 ke atas Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain kebangsaan Belgium itu meledak dua gol ketika membantu penyandang juara EPL bangkit untuk menewaskan skuad kendalian Rafael Benitez yang mendahului perlawanan hasil jaringan daripada Dwight Gayle.

Hazard kini telah meledak empat gol dalam saingan liga dan Conte percaya dia gembira beraksi bebas di belakang penyerang, Alvaro Morata.

"Saya berasakan Hazard telah bermain dengan baik," kata Conte. "Dia merupakan pemain yang penting dan kualiti yang dimiliki membenarkan kami mengubah sistem. Dia boleh bermain sebagai penyerang kedua serta mengisi posisi nombor 10.

"Hazard dan Morata menghasilkan gandingan yang mantap dan saya melihat banyak kombinasi permainan melibatkan dua pemain ini.

"Panenka" yang dihasilkan Hazard menerusi sepakan penalti menyamakan kedudukan sebelum Morata menanduk masuk gol kemenangan Chelsea.

Conte tidak memiliki sebarang masalah dengan cara Hazard mengambil sepakan tersebut, tetapi memberikan amaran untuk berhati-hati dengan penjaga gol yang mampu membaca gerakannya.

"Perkara yang penting pada saya adalah menjaringkan sepakan penalti dan anda boleh membuat keputusan bagaimana mahu mengambilnya."

Conte turut menjangkakan Hazard akan menjadi masalah besar buat England dalam saingan Piala Dunia Russia 2018, selepas Belgium diundi bersama England dalam kumpulan yang sama, termasuk Tunisia dan Panama.

"Terdapat dua pasukan yang akan layak ke pusingan seterusnya. England dan Belgium merupakan pasukan pilihan dalam saingan Piala Dunia. Ia akan menjadi satu perlawanan yang istimewa."