'Wake up call' buat Perikatan Nasional

Dengan beza hanya dua undi dalam kelulusan usul pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat, penganalisis politik menganggap ia merupakan 'wake-up call buat Perikatan Nasional'.

Perdana Menteri, Muhyiddin harus memikirkan strategi terbaik untuk menarik sokongan tambahan dan sekiranya pola pengundian itu diambil kira, Mohd Azizuddin berasakan kedudukan Ahli Parlimen Pagoh itu masih tidak stabil. - Gambar BERNAMA | Astro Awani
Dengan beza hanya dua undi dalam kelulusan usul pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis menganggap ia merupakan 'wake-up call' atau suatu peringatan buat Perikatan Nasional.

Menurutnya, angka itu juga memberikan indikasi bahawa akan terdapat kesukaran dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin sekiranya beliau tidak mampu membentuk satu kerjasama politik yang harmoni.

“Ini akan memberikan indikasi bahawa akan terdapat kesukaran kalau kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin tak mampu membentuk satu kerjasama politik, keharmonian dan konsensus dalam perikatan ini untuk tuju ke depan.

“Ini kerana ada banyak lagi. Kita lihat ini dalam konteks yang begitu kecil, hanya pertukaran Speaker. Bagaimana dengan bajet, undang-undang COVID-19 dan perbekalan,” katanya dalam Buletin AWANI Khas di sini pada Isnin.

BACA: Hanya beza dua undi, pengosongan kerusi YDP Dewan Rakyat lulus

BACA: Usul tukar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Kerajaan hadapi tentangan

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani turut senada dengan Mujibu.

Menurutnya, sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin harus memikirkan strategi terbaik untuk menarik sokongan tambahan dan sekiranya pola pengundian itu diambil kira, Mohd Azizuddin berasakan kedudukan Ahli Parlimen Pagoh itu masih tidak stabil.

“Majoriti yang sangat tipis itu timbulkan kegusaran. Ini usul Speaker, bagaimana usul-usul lain, adakah pattern pengundian sama seperti ini akan berlaku.

“Dalam konteks ini, saya rasa inilah politik Malaysia sekarang dan sekiranya ada berlaku sedikit permasalahan dalam kerajaan, mungkin bentuk pengundiannya akan berubah,” ujarnya dalam program sama.


Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan usul supaya Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat, dengan hanya perbezaan dua undi.

Usul tersebut diluluskan selepas undian belah bahagian dilakukan dengan 111 Ahli Parlimen menyokong manakala 109 menolak.

Ia diumumkan oleh Timbalan Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Ketika menggulung usul itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan akui usul tersebut merupakan pertama sekali dalam sejarah perjalanan Parlimen.

Bagaimanapun, tegasnya ia boleh dilakukan dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.