Usul tukar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Kerajaan hadapi tentangan

Usul kerajaan untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat mendapat tentangan hebat dari pihak pembangkang.

Usul kerajaan untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat mendapat tentangan hebat dari pihak pembangkang. - Gambar fail | Astro Awani
Usul kerajaan untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat mendapat tentangan hebat dari pihak pembangkang.

Dalam sidang hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) bingkas berdiri mempersoalkan usul yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Ia selepas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon memberi laluan kepada empat Ahli Parlimen membahaskan usul tersebut dengan setiap individu diberi tempoh 10 minit membahaskannya.

“Saya cadangkan, jangan ambil keputusan pantas dan gopoh untuk halang Ahli Parlimen membahaskan usul ini. Ini soal besar, bukan soal teknikal.

“Perdana Menteri boleh dengar dan menjawab sebelum Ahli Parlimen memutuskan dengan mengundi. Tidak ada sebab untuk dua orang sahaja berbahas.

“Ini pertama kali berlaku dalam sejarah,” katanya yang mempersoal keputusan yang dibuat Rashid.

Malah, Gobind Singh Deo (DAP-Shah Alam) mempersoalkan usul tersebut yang dikatakan bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.


Bagaimanapun, usul yang dikemukakan Perdana Menteri itu dibuat di bawah Perkara 57 (2) (c) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Yang DiPertua boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, dan hendaklah mengosongkan jawatannya jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian.