Shafie Apdal perlu ambil kira percaturan politik semasa - penganalisis

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bukan sahaja perlu meneliti pencalonannya sebagai Perdana Menteri kesembilan tetapi perlu menyedari objektif percaturan politik semasa.

MOHD RAHEZZAL berkata, perkara itu perlu diteliti secara tuntas bagi mengelak terperangkap dengan kemelut politik sedia ada. - Foto Astro AWANI | Astro Awani
KOTA KINABALU:Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bukan sahaja perlu meneliti pencalonannya sebagai Perdana Menteri kesembilan tetapi perlu menyedari objektif percaturan politik semasa.

Pensyarah Sains Politik dan Dasar Awam UiTM Sabah, Mohd Rahezzal Shah Abdul Karim berkata, perkara itu perlu diteliti secara tuntas bagi mengelak terperangkap dengan kemelut politik sedia ada.

Mohd Rahezzal berkata, salah satu contoh ketara adalah janji bekas Perdana Menteri itu untuk menyekat kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah sebelum ini walaupun terdapat 'perjanjian' di antara kedua-dua pihak.

"Patut diberi perhatian khusus oleh Datuk Shafie adalah janji beliau (Dr Mahathir) bahawa Bersatu tidak akan masuk ke Sabah. Pada waktu itu ada dalam kalangan pemimpin Warisan marah dengan keputusan Dr Mahathir itu kerana tidak menunaikan janji.

"Jadi seperti yang kita dapat lihat di sini terdapat unsur-unsur Dr Mahathir tidak menunaikan janji," katanya ketika ditemui di pejabatnya, pada Isnin.

Terdahulu, Mohd Shafie dalam sidang media di Penampang meminta semua pihak untuk memberikannya sedikit masa bagi mencapai keputusan mengenai pencalonan sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Mohd Shafie juga yakin akan janji Dr Mahathir dalam mengembalikan hak-hak Sabah. Malah perkara itu dibuktikan dengan persetujuan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sementara itu, mengulas lanjut,  Mohd Rahezzal turut mengingatkan pemimpin di Sabah supaya melihat objektif dan sejauh mana kepercayaan terhadap janji Dr Mahathir untuk mengelak insiden di luar jangka berulang.

"Saya pun sekiranya Datuk Shafie dilantik sebagai Perdana Menteri, sebagai orang Sabah tentunya saya bangga, tetapi saya ingin berpesan bahawa sejak tahun 2018 ini terlalu banyak percaturan politik yang berlaku di belakang dan beliau perlu melihat benda ni dengan teliti," katanya.