Saarani didesak dedah Exco cuba jatuhkan MB Perak

Pemuda Pakatan Harapan Perak mendesak Datuk Saarani Mohamad supaya menamakan Exco kerajaan negeri yang didakwa cuba menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Saarani (gambar) didesak supaya mendedahkan nama Exco Kerajaan Negeri Perak yang dikatakan cuba berkomplot menjatuhkan Menteri Besar Perak. - BERNAMA/Fail | Astro Awani
Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak mendesak Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad, supaya menamakan Exco Kerajaan Negeri yang didakwa cuba menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda PH Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yakin dakwaan itu tidak benar, sebaliknya ia cuba dipolemikkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Perak hari ini stabil, kukuh dan tetap mendapat sokongan daripada rakyat, termasuk penjawat awam.

"Saya ingin tegaskan sekali lagi, jika benar ada dakwaan itu, tolong nyatakan siapa Exco berkenaan dan kita akan melihat keberanian UMNO-BN," katanya dalam sidang media di Pejabat Bersatu Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak, Steven Chaw, dan Pengarah Strategik AMK Perak, Zaim Sidqi Zulkifly.

BACA: Kerajaan perlu siasat dakwaan jatuhkan Menteri Besar - Armada Bersatu

Hasnul berkata, Pemuda PH yang mempunyai dua Exco Kerajaan Negeri, iaitu beliau sendiri dan Howard Lee Chuan How, tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula esok.

Sehubungan itu, beliau meminta UMNO dan BN agar menghentikan segala polemik yang menurutnya juga bertujuan untuk mengembalikan semula kepercayaan ahli-ahli UMNO yang semakin goyah.

"Setelah mereka 'bercumbu-cumbuan' dan berbaik-baik dengan PAS, mereka mencuba pula isu ini, mungkin hendak melihat sokongan orang Melayu kepada pakatan UMNO dan PAS ini," ujarnya.

Hasnul yang juga Ketua Pemuda Amanah Perak berkara, isu itu telah dimainkan sejak awal penubuhan Kerajaan Negeri PH, lebih-lebih lagi setiap kali menjelang sidang DUN.

Sementara itu, Steven yang juga ADUN Menglembu berkata, beliau telah bertanyakan isu berkenaan kepada semua lima Exco Kerajaan Negeri daripada DAP dan semuanya menyatakan sokongan terhadap Ahmad Faizal.

Dalam pada itu, Howard berkata, di zaman Malaysia Baharu sekarang, kerajaan sentiasa meraikan perbezaan pendapatan tetapi apabila keputusan telah dibuat, semua pihak sepakat melaksanakannya.