'Ramai orang macam tu' - Dr Mahathir maafkan Lim Kok Wing

Dr Mahathir memilih untuk memaafkan Kok Wing kerana sikapnya yang sangat pemaaf.

Dr Mahathir memilih untuk memaafkan Kok Wing (kiri) kerana sikapnya yang sangat pemaaf. -Gambar fail | Astro Awani
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau memaafkan ahli perniagaan Tan Sri Lim Kok Wing yang pernah menyuruhnya menutup mulut daripada mengkritik kepimpinan lalu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jelas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau memilih untuk memaafkan Kok Wing kerana sikapnya yang sangat pemaaf.

"Masa saya tiada kuasa Kok Wing tidak sokong, tetapi sekarang sudah berkuasa balik, dia sokonglah.

"Ramai orang macam itu. Saya insan yang sangat pemaaf," katanya semasa ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Kok Wing menghantar tweet, "Betul kata Mahathir bahawa kita hanya perlu tetapkan di dalam minta dan hati kita untuk mencapai matlamat dan negara maju."

Tweet itu dibalas anak Mahathir, Datin Marina yang mempersoalkan di mana Kok Wing sebelum PRU14, malah mengkritik Dr Mahathir untuk 'menutup mulut'.

"Tolong hentikannya @limkokwing! Di mana anda akan datang ke rumah kami tanpa diundang pada Hari Raya untuk meminta maaf. Hentikan," tulis Marina.

Netizen turut memberi respons kepada tweet itu dan menuduh Kok Wing sebagai seorang 'pembodek'.

Dr Mahathir berkata Kok Wing, yang ketika itu merupakan pegawai strategik perhubungan awam bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, pernah memujuknya agar berhenti mengutuk Najib.

"Jika saya terus mengkritik, Kok Wing memberi amaran saya akan hilang legasi. Saya beritahu apa yang orang fikir tentang legasi kerana bimbangkan apa yang telah berlaku di negara ini. Reputasi kita sudah tercemar.

"Saya amat menghargai kebimbangannya, dia seorang kawan dan prihatin. Kita berpisah sebagai kawan," katanya.