PRK Rantau: Nak buat kolej, buatlah... jangan cakap saja - Tok Mat

Jumlah penduduk di Rantau tidak begitu ramai menyebabkan penubuhan kolej bukan satu keperluan mendesak, kata Mohamad.

PRK Rantau: Nak buat kolej, buatlah... jangan cakap saja - Tok Mat | Astro Awani
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mengalu-alukan hasrat lawannya daripada Pakatan Harapan (PH) yang mahu membuka institusi pengajian tinggi atau kolej di Rantau.

Beliau mahu Dr S. Streram membuktikannya dan tidak sekadar menabur janji semata-mata.

BACA: PRK Rantau - Streram cadang golongan muda libat industri pertanian

Bagaimanapun, katanya, jumlah penduduk di Rantau tidak begitu ramai menyebabkan penubuhan kolej bukan satu keperluan mendesak.

“Baguslah idea tu. Jadi buatlah kolej jangan tak buat. Jangan cakap saja. Sebab kadang-kadang PH ni dia cakap saja. Janji lama tak buat lagi, janji baharu nak ditaburkan.

"Ini kerana kalau di Rantau ini nak mewujudkan kolej, penduduk Rantau ini tak besar,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN, di sini, pada Isnin.

Ketika berkempen di Kampung Sawah, Dr Streram berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk membangunkan institusi pengajian tinggi di Rantau memandangkan IPT yang terdekat ialah di Pedas dan Seremban.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata pelbagai usaha dilakukan beliau sebelum ini termasuk mewujudkan Malaysia Vision Valley bagi meluaskan kawasan negeri dan sekali gus membina lebih banyak institusi pengajian tinggi serta kawasan industri.

“Sebab itu saya nak besarkan Negeri Sembilan ini dijadikan ia sebagai sebahagian Lembah Klang yang besar. Seremban dan Port Dickson sudah dimasukkan dalam The Greater Klang Valley,” tambahnya.

Mengenai peluang pekerjaan kepada anak muda di Rantau, Mohamad berkata pewujudan Sendayan Tech Valley berjaya menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 4,000 orang daripada golongan itu.

Malah, ia sekali gus mengurangkan penghijrahan orang muda ke negeri lain terutama Kuala Lumpur.

“Sendayan Tech Valley ini banyak peluang pekerjaan yang telah diwujudkan dan ramai anak tempatan telah berjaya balik bekerja di tempat sendiri seperti STV itu 3,000 ke 4,000 pekerjaan telah diwujudkan dan banyak lagi industri akan diadakan.

“Rantau ini adalah sebahagian Malaysia Vision Valley yang kita cadangkan dulu. Kalau kita teruskan maka Rantau akan masuk dan adalah sebahagian daripada rangka rancangan besar untuk membangunkan Negeri Sembilan,” kata beliau lagi.

Namun sebagai parti pembangkang, BN tidak dapat membuat dasar-dasar melibatkan pekerjaan, tetapi cukup untuk menjadi parti yang mendesak kerajaan.