PH setuju calonkan saya sebagai Perdana Menteri - Anwar

Tegas Anwar, Pakatan Harapan tidak pernah bersetuju bagi menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang.

PH setuju calonkan saya sebagai Perdana Menteri - Anwar | Astro Awani
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan kesemua Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) telah mencalonkan namanya sebagai calon Perdana Menteri bagi Kerajaan Pakatan Harapan.

Tegas Anwar lagi, Pakatan Harapan tidak pernah bersetuju bagi menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang.

"Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menjemput Tun Mahathir untuk mengadakan satu pertemuan bagi memulihkan Kerajaan Pakatan Harapan.

"Bagaimanapun Tun Mahathir tidak bersetuju untuk hadir pada mesyuarat yang dijalankan pada 25 Feb lalu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Rabu.

Melihat kepada keadaan ini katanya, Majlis Presiden semalam telah memutuskan agar nama beliau (Anwar) dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi Kerajaan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun semua ini terletak kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat sebarang keputusan.

"Kesemua Ahli Parlimen Pakatan Harapan telah diundang oleh YDP Agong untuk bersemuka".

"Sekarang ini terletak pada kuasa YDP Agong dan kita perlu menghormati sebarang keputusan yang bakal diputuskan," katanya lagi.