Parti Cinta Sabah hanya mahu pecah undi - Peter

Parti tersebut yang diketuai oleh Datuk Seri Anifah Aman adalah sebagai ejen tambahan kepada parti lawan di Sabah.

Peter berkata beliau dan pucuk pimpinan parti-parti di bawah Pakatan Harapan akan menyenaraikan nama calon tidak lama lagi. | Astro Awani
KENINGAU:Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Peter Anthony mendakwa kewujudan parti baharu yang dikenali sebagai Parti Cinta Sabah sebagai salah satu taktik untuk memecahkan undi dalam kalangan etnik terutama Kadazan Dusun Murut (KDM).

Dakwanya parti tersebut yang diketuai oleh Datuk Seri Anifah Aman bertindak sebagai ejen tambahan kepada parti lawan di Sabah.

“Saya melihat teknik yang digunakan mereka ini sebagai pecah dan perintah, mereka cuma mewujudkan satu parti untuk memecah-belahkan undi daripada KDM.

“Tapi saya yakin orang KDM sekarang bukan bodoh, orang KDM kalau ada wakil-wakil rakyat mereka yang 'katak'... yang tidak bermaruah, pengundi-pengundi di Bingkor ini khasnya bermaruah (tidak akan undi).

“Jadi saya percaya mereka ini akan memilih parti yang betul-betul memperjuangkan hak-hak orang Sabah dan parti tempatan, itu saya yakin,” katanya yang ditemui selepas Majlis Mesra Rakyat di Bingkor, Keningau pada Sabtu.

Menyentuh soal calon, Peter berkata beliau dan pucuk pimpinan parti-parti di bawah Pakatan Harapan akan menyenaraikan nama calon untuk dipertimbangan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kita sebenarnya akan menghantar nama... ia akan diputuskan oleh Ketua Menteri nanti. Tapi apa yang akan kita turunkan dan pertandingkan adalah mereka-mereka yang tiada ada ‘gene’ daripada 'katak' ini.

“Kita akan pastikan mereka ini mesra rakyat, memiliki keperibadian yang baik dan tidak kira Islam, Kristian atau Buddha, kerana itu bukanlah perhitungan untuk bertanding kerana kami semua tinggal bersama,” katanya