Muhyiddin, Zahid nafi tandatangan akuan bersumpah sokong Anwar

Presiden Bersatu itu telah meminta pihak polis supaya menyiasat penularan dokumen palsu yang disifatkan bertujuan mencemarkan nama baiknya.

Muhyiddin sifatkan dokumen yang tular itu bertujuan mencemarkan nama baiknya. - BERNAMA/Fail | Astro Awani
Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan bahawa beliau telah menandatangani satu dokumen Akuan Bersumpah menyokong peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan di Facebooknya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjelaskan, beliau telah meminta pihak polis supaya menyiasat penularan dokumen palsu yang disifatkan bertujuan mencemarkan nama baiknya.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya telah menandatangani satu dokumen Akuan Bersumpah mengenai peralihan jawatan Perdana Menteri daripada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti yang tular di media sosial hari ini. Dokumen tersebut adalah palsu.

"Saya telah meminta pihak polis supaya menyiasat penularan dokumen palsu ini yang saya fikir adalah bertujuan untuk mencemarkan nama baik saya," katanya.


Sementara itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan beliau telah menandatangani akuan bersumpah yang tular itu.

"Saya tidak menandatangi surat berkenaan. Ini merupakan fitnah jahat yang dilakukan oleh mereka yang terdesak dan tidak bertanggungjawab bagi merosakkan diri saya selaku Presiden UMNO.

"Saya ingin nyatakan semua keputusan besar dan pendirian UMNO akan dibuat secara berpasukan. Bukan oleh saya secara individu," katanya di laman Facebook.


Pada Ahad, sebuah blog mendakwa Anwar memiliki dokumen akuan bersumpah 149 Ahli Parlimen dari Bersatu, UMNO, DAP, Amanah dan Warisan bagi mengisytiharkan bahawa beliau sudah memperolehi sokongan dua pertiga anggota Parlimen dan bersedia menjadi Perdana Menteri.

Blog itu juga mendakwa 50 Ahli Parlimen yang menandatangani akuan bersumpah bertarikh 3 Julai itu kemudiannya membuat satu lagi akuan bersumpah bagi membatalkan akuan bersumpah menyokong Anwar.