Mohd Khalil nasihat Adly terus mentadbir sebagai Ketua Menteri Melaka

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob menasihatkan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari untuk meneruskan tugas mentadbir kerajaan negeri Melaka.

Mohd Khalil nasihat Adly terus mentadbir sebagai Ketua Menteri Melaka | Astro Awani
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob menasihatkan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari untuk meneruskan tugas mentadbir kerajaan negeri Melaka.

Kata Adly, nasihat itu telah diberikan Yang Dipertua Negeri Melaka itu ketika beliau bertemu dengannya semalam.

Katanya, Mohd Khalil juga menasihatkan beliau supaya terus fokus melaksanakan amanah yang diberikan dan tugas-tugas mentadbir kerajaan negeri, supaya kebajikan rakyat terus terjaga.

"Saya memang punyai pertemuan (dengan Mohd Khalil) sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri. Politik semasa semalam juga dibincangkan yang mana Tuan Yang Terutama Tun (Mohd Khalil) menasihatkan supaya terus fokus mentadbir.

"Memanglah ditanya status kerajaan negeri itu, kita kekalkan status quo sedia ada," katanya pada sidang media Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka dan Hari Bertemu Rakyat, di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Ditanya tentang situasi sokongan semasa terhadap kerajaan negeri, beliau berkata kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), masih memegang status quo kerana pada masa ini masih memperoleh sokongan daripada 15 Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka untuk kekal.


Adly berkata apa saja proses termasuk menukar kerajaan negeri, harus mengikut perlembagaan negeri di mana Yang Dipertua Negeri Melaka punya kuasa muktamadnya.

"Kita tunggu sahaja buat masa ini, saya nasihatkan semua termasuk barisan exco, supaya melaksana tugas seperti biasa untuk kita menjaga rakyat. Pada masa ini situasi politik semasa tidak memberi impak besar kepada negeri terutama sektor pelancongan itu berjalan seperti biasa," katanya.

PH Melaka mentadbir kerajaan negeri dengan 15 kerusi DUN berbanding BN memiliki 13 yang mana semuanya daripada UMNO. Daripada 15 kerusi DUN dimenangi PH, lapan (DAP), tiga (PKR), Amanah dan Bersatu masing-masing menang dua kerusi DUN pada PRU14 yang lepas.

Sementara itu, Adly berkata Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijadual 6 hingga 11 Mac ini, ditangguh ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Beliau berkata keputusan itu dibuat ekoran situasi politik negara pada masa ini dan bagi memberi ruang bagi membolehkan keadaan politik semasa kembali stabil.

"Kita mengambil kira (keadaan) semasa politik ini di peringkat pentadbiran persekutuan dan negeri jadi sidang DUN ini, kita memerlukan masa sedikit ke depan supaya kestabilan politik itu dapat kita lakukan. Kita akan maklumkan tarikhnya sebab tarikh sidang DUN ini ada beberapa tempoh ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA