Masa beri sokongan kepada Tun Mahathir sudah berakhir - Bersatu Kepong

Datuk Norizan Ali menegaskan, sokongan kini harus diberikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Norizan menegaskan sokongan kini harus diberikan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. - Gambar fail | Astro Awani
Masa untuk memberi sokongan kepada bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berlalu selepas sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Ketua Bersatu Kepong, Datuk Norizan Ali menegaskan, sokongan kini harus diberikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Jelasnya, itulah satu-satunya pilihan untuk Bersatu bergerak ke hadapan dan menuju kecemerlangan.

Tambahnya, memilih untuk mengundur ke belakang bersama Dr Mahathir dan pembangkang adalah jalan yang kelam dan tiada penentuan.

"Saya mengalu-alukan keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang menyatakan perletakan jawatan Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu adalah sah dan dengan itu, Muhyiddin kini adalah Pemangku Pengerusi Bersatu.

"Langkah RoS itu adalah tepat, tidak ada keraguan serta bersandarkan Perlembagaan Bersatu sendiri.

"Sebagai salah seorang pemimpin Bersatu di peringkat bahagian, saya percaya keputusan RoS ini akan membolehkan Muhyiddin menguruskan parti dengan lebih baik, bukan saja menjelang pemilihan parti tidak lama lagi, tetapi juga di masa-masa yang seterusnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

RoS dalam surat bertarikh 5 Mei sebelum ini menjelaskan, perkara itu adalah selaras dengan Perkara 16.9 Perlembagaan Bersatu.

Dalam pada itu kata Norizan, Dr Mahathir sudah tiada sokongan majoriti di kalangan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan tidak mahu memanggil mesyuarat selain parti seolah-olah tidak bergerak sejak lebih dua bulan yang lalu.

"Sekarang, dengan Muhyiddin sudah disahkan sebagai Pemangku Pengerusi, beliau sudah boleh memanggil mesyuarat MPT bagi memastikan aktiviti parti berjalan seperti biasa dan meneruskan agenda pemilihan Bersatu.

"Dengan itu, Bersatu akan dapat berperanan secara lebih baik memberi khidmat kepada masyarakat selepas ini.

"Soal Dr Mahathir dan pengikutnya yang kini bercanggah pendirian dengan keputusan Bersatu membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional, diharapkan Muhyiddin dapat bertindak berani menanganinya demi masa depan parti," jelasnya.

Tambahnya, Muhyiddin wajar bertindak pantas jika mereka didapati bersalah dari segi disiplin dan perlu diambil tindakan, termasuk gantung keahlian atau dipecat.

"Masa depan parti dan negara lebih penting daripada individu dan kiranya Muhyiddin terus membiarkan gangguan wujud dalam parti, beliau dengan sendirinya akan terhalang daripada memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat dan negara.

"Selagi kewujudan golongan pengacau ini masih ada dalam parti, selagi itulah Bersatu akan berpecah, menjadi parti dua nakhoda dan tidak dapat bergerak ke mana-mana," tegasnya.

Dalam hal berkenaan, Norizan berharap semua pihak memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin mengurus parti sebagaimana mandat yang dibuat oleh RoS lebih-lebih lagi sesuai dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan ketua kerajaan.