Ku Li jangka ramai pemimpin BN tidak setuju PN didaftar secara rasmi

Tengku Razaleigh berpendapat ramai pemimpin BN mahu kekal di bawah gabungan tersebut.

Tengku Razaleigh menjangkakan ramai pemimpin BN akan menentang cadangan untuk mendaftarkan secara rasmi PN serta lebih selesa menggunakan logo dacing. | Astro Awani
Ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) mahu kekal di bawah naungan gabungan itu berbanding Perikatan Nasional (PN), kata veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut laporan portal Malaysia Gazette, Ahli Parlimen Gua Musang itu juga menjangkakan ramai pemimpin BN akan menentang cadangan untuk mendaftarkan secara rasmi PN serta lebih selesa menggunakan logo dacing.

“Pendaftaran PN masih dibincang lagi, tapi nampaknya ramai tidak bersetuju, masih nak guna BN dengan semboyan terkenal, orang dah biasa dengan lambang tu banyak jasa BN,” katanya seperti dilaporkan portal berkenaan.

Tengku Razaleigh sebelum itu menghadiri mesyuarat pra-majlis Ahli Parlimen UMNO dan BN sebagai persediaan persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung esok selepas Perikatan Nasional (PN) menubuhkan kerajaan beberapa bulan yang lalu.

Tengku Razaleigh juga dilaporkan berkata, kenyataan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan bahawa parti itu akan mempertahankan semua kerusi yang pernah ditandingi sebelum ini pada pilihan raya tahun depan adalah wajar.

Beliau menegaskan, BN berhak mempertahankan semua kerusi milik parti tersebut sebelum ini dan tidak perlu mengadakan sebarang perbincangan.

Bekas Menteri Kewangan itu dalam masa sama menolak pandangan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu pembahagian kerusi diselesaikan menerusi rundingan.

“Memang kerusi kita kita kena bertanding. Dia (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) cakap nak bincang, kita tidaklah bincang sebab memang kerusi kita.

“Tidak bertegas, memang kita cakap kerusi kita, kompromi apa kalau kerusi kita, rumah awak orang nak, awak mahu kompromi?” soal beliau.

Sementara itu, mengulas mesyuarat Ahli Parlimen BN, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tumpuan lebih terarah membincangkan soal persiapan bagi persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada Isnin.

Katanya, Ahli Parlimen BN dinasihatkan supaya hadir dan bersatu menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN.

“Cuma (perbincangan lebih) untuk Dewan Rakyat esok, macam kita kena bersatu dan semua Ahli Parlimen kena hadir dan sokong kerajaan PN,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.