Keputusan Bersatu keluar PH tidak libatkan negeri - Asmuni Awi

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri ketika membuat pengumuman parti itu keluar Bersatu pada Isnin lalu hanya merujuk kepada Ahli Parlimen.

Keputusan Bersatu keluar PH tidak libatkan negeri - Asmuni Awi | Astro Awani
Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar Pakatan Harapan (PH) hanya di peringkat Persekutuan dan tidak melibatkan negeri-negeri.

Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, oleh sebab itu, tidak ada masalah jika Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terus kekal menjadi Menteri Besar setakat ini kerana masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri.

Menurutnya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri ketika membuat pengumuman parti itu keluar Bersatu pada Isnin lalu hanya merujuk kepada Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Perak sekarang bukan lagi kerajaan Pakatan Harapan, kerana ia kini tinggal tiga parti iaitu PKR, DAP dan Amanah.

“Nama kerajaan tidak penting sebenarnya, could be anything, sebab di dalam perlembagaan sekalipun seorang Menteri Besar ialah seorang yang mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli-Ahli Dewan.

"Dia tak sebut nama, dia tak sebut nama parti pun,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Amanah Perak di sini, malam tadi.

Asmuni memberi jaminan kesemua enam ADUN Amanah akan memberi sokongan kepada Ahmad Faizal.

“Saya dah beri jaminan bahawa keenam-enam itu tidak akan berubah dan saya telah beri arahan keenam-enam supaya jaga diri masing-masing sebab anything can happen,” ujarnya.

Mengenai kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mahukan bukti Ahmad Faizal mendapat sokongan majoriti, Asmuni berkata ia tidak perlu kerana mereka telahpun menyatakan sokongan itu.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya UMNO masih tidak berpuas hati, mereka membawa usul undi tidak percaya ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan April nanti.

Mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari bahawa kerajaan Perak sekarang hanya kerajaan ‘caretaker’, beliau berkata, ia hanya dari segi teori sahaja.

“Kalau nak jadi caretaker macam mana sebab MB tak resign, kecuali kalau MB resign, jadi barulah ada caretaker,” katanya.