Kemenangan PRK Chini isyarat kerjasama semakin baik antara BN dengan PAS

Bagi Dr Ainul, majoriti undi BN yang meningkat lebih sekali ganda adalah faktor dibantu kejayaan daripada sokongan pengundi PAS, selain faktor ramai pengundi luar yang pulang.

Mohd Sharim (tengah) bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) dan Najib selepas diumum menang PRK DUN Chini di pusat penjumlahan undi rasmi di IKBN Pekan, 4 Julai, 2020. --fotoBERNAMA | Astro Awani
Kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semalam memberi isyarat bahawa parti itu boleh mencapai kejayaan dengan sokongan PAS selain kerjasama parti-parti lain di bawah Perikatan Nasional (PN).

Bagi Pensyarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Ainul Adzellie Hasnul, majoriti undi BN yang meningkat lebih sekali ganda adalah faktor dibantu kejayaan daripada sokongan pengundi PAS, selain faktor ramai pengundi luar yang pulang.

“Ia didorong oleh keberkesanan jentera BN-PAS yang bersatu dan bekerja secara sistematik dan berpasukan di bawah gabungan Muafakat Nasional (MN). Malah beberapa pemimpin MCA dan MIC yang turun pada kempen membuktikan komponen BN itu sedia menerima PAS dalam MN.

“Jadi PRK kali ini antara contoh terbaik jalinan kerjasama diterjemahkan antara dua parti politik terbesar Melayu ini di samping merupakan kemenangan keenam kerjasama MN (pada PRK),” katanya kepada Bernama.

PRK Chini menyaksikan calon BN Mohd Sharim Md Zain, 41, menang dengan majoriti 12,650 undi, setelah memperoleh 13,872 undi, mengalahkan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, dengan memperoleh 137 undi sahaja.

Ini sekali gus menyaksikan kedua-dua mereka hilang wang pertaruhan dan menepati telahan Pengarah Operasi PRK Chini Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Sharim, generasi kedua Felda Chini 3 itu juga berjaya meningkatkan majoriti kemenangan penyandang Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun yang mendapat 10,027 undi (majoriti 4,622) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Namun, Ainul Adzellie menegaskan bahawa kemenangan semalam bukanlah suatu petanda bahawa BN semakin kuat, tetapi strategi dan pendekatan yang digunakan bersama PAS untuk meraih sokongan pengundi terutama cabaran berkempen dalam kebiasaan baharu ini, dilihat semakin berkesan.

Katanya, keberkesanan jentera kempen itu turut memberi isyarat kepada rakyat tentang keupayaan kerajaan PN, sebagai gabungan parti politik yang mampu bekerjasama menjayakan agenda kebajikan rakyat dan kemajuan negara.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman berkata kerjasama BN dalam MN dan PN terbukti membuahkan hasil dengan kemenangan besar yang dicatatkan dalam PRK ini.

Namun begitu, beliau berkata pihak yang menang tidak boleh terlalu yakin dengan formula kerjasama yang dicipta itu, kerana kerjasama MN dan PN masih belum teruji sepenuhnya.

“Kerjasama BN menerusi gabungan MN dan PN untuk PRK adalah menentang calon Bebas dan bukan seteru parti politik yang pada pendapat saya tidak memberikan cabaran sebenar.

“Gerak kerja jentera dalam MN dan PN untuk PRK ini cukup baik, tetapi kekurangan jentera calon Bebas daripada pelbagai aspek juga perlu diambil kira," katanya.

Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon pada PRK kali ini.

Ismail berkata formula kemenangan itu boleh diteruskan bagi menghadapi PRU15 namun perkara seperti sokongan parti komponen BN terhadap kerjasama dalam MN dan PN juga perlu diambil perhatian.

-- BERNAMA