Ini sebab kenapa Tun Mahathir bukan lagi Pengerusi Bersatu

Keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mengesahkan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia adalah selaras dengan perlembagaan parti itu sendiri.

ROS mengesahkan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi Pengerus Bersatu adalah selaras dengan perlembagaan parti itu sendiri. - Gambar fail/Astro AWANI | Astro Awani
Keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mengesahkan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia adalah selaras dengan perlembagaan parti itu sendiri, kata seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Pemimpin berkenaan, yang juga merupakan salah seorang pemimpin Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu berkata, keputusan itu adalah berdasarkan Perkara 16.9 Perlembagaan Parti.

Jelas beliau, apabila seseorang Pengerusi itu membuat keputusan untuk meletakkan jawatan, MPT tiada kuasa untuk menolak, tetapi Presiden dibenarkan untuk memangku jawatan berkenaan sehingga habis penggal ini (2016-2020).

“Dalam perlembagaan Bersatu fasa 16.9, bila Pengerusi berhenti... Presiden memangku hingga jawatan diisi.

“Jika individu berkenaan sama nak pegang semula (jawatan Pengerusi), beliau perlu melalui proses pemilihan. Tak boleh dilantik semula oleh sesiapa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: "Saya pun tak suka DAP, Anwar" - Rakaman suara mirip Dr Mahathir pula tersebar

Terdahulu, ROS dalam satu surat bertarikh 5 Mei 2020, menjelaskan Dr Mahathir sendiri telah memutuskan untuk meletak jawatan selaku Pengerusi pada 24 Februari 2020, dan berkuatkuasa serta-merta.

Ia berkata, susulan tindakan itu, maka Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak memangku jawatan itu sehingga pemilihan untuk penggal baharu selesai.

“Oleh itu, berdasarkan dokumen yang dikemukakan iaitu surat perletakan jawatan pengerusi, ROS mengesahkan bahawa perletakan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu oleh Yang Berhormat Tun Dr Mahathir Bin Mohamad adalah sah.

"Pemangkuan jawatan Pengerusi Bersatu oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, Presiden Bersatu adalah juga sah dan masih berkuatkuasa selaras dengan peruntukan perlembagaan Bersatu sehingga diadakan pemilihan pengerusi baharu.” menurut isi kandungan surat itu lagi.