Hadapi lima bekas pemimpin Bersatu sebagai lawan sebenar - Norizan

Lima bekas pemimpin Bersatu yang dihentikan keahlian kini bebas untuk bersama pembangkang secara sah dan memilih sama ada mahu mengisi borang keahlian PKR, DAP atau Amanah.

Norizan menjelaskan, rakyat sudah cukup tertipu dengan permainan sesetengah golongan yang semata-mata mahu mengaut laba daripada dunia politik dengan menjadikan rakyat sebagai mangsanya. - Gambar fail | Astro Awani
Lima bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dihentikan keahlian kini bebas untuk bersama pembangkang secara sah dan memilih sama ada mahu mengisi borang keahlian PKR, DAP atau Amanah.

Ketua Bersatu Kepong, Datuk Norizan Ali menegaskan, ketiadaan kelima-lima mereka dalam Bersatu akan memberi lebih ruang dan kebebasan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin melaksanakan tugasnya sebagai Perdana Menteri.

“Selepas ini mereka itu perlu dihadapi sebagai lawan yang sebenar, bukan lagi seperti musuh yang sentiasa berada dalam kelambu sendiri.

“Oleh kerana rakyat yang terlibat menjadi ahli mana-mana parti politik hanya sekitar 30 peratus, manakala selebihnya tidak berparti, mereka yang tidak berparti inilah yang menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya kelak.

“Apa yang dilakukan oleh Muhyiddin adalah langkah wajar untuk memperlihatkan dunia orang-orang politik merupakan contoh terbaik dalam mewujudkan kestabilan dan keamanan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

BACA: Masa beri sokongan kepada Tun Mahathir sudah berakhir - Bersatu Kepong

BACA:
Penjelasan Muhyiddin bukti tolak ansur Presiden Bersatu - Syed Ali

Sebelum ini, keahlian lima Ahli Parlimen Bersatu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik diumum dihentikan kerana dilihat melanggar perlembagaan parti.

Dalam pada itu, Norizan menjelaskan, rakyat sudah cukup tertipu dengan permainan sesetengah golongan yang semata-mata mahu mengaut laba daripada dunia politik dengan menjadikan rakyat sebagai mangsanya.

Katanya lagi, politik jatuh menjatuh berterusan seolah-olah tiada titik penamatnya.

“Keadaan ini mahu tidak mahu, sebenarnya telah menimbulkan rasa meluat di kalangan rakyat.

“Rakyat mahukan kestabilan, tetapi pihak yang menentang kerajaan nampaknya sentiasa membuat onar dan gangguan terhadap kerajaan.

“Ini menjadikan perjuangan dalam politik sudah bertukar menjadi permainan dalam politik di mana dunia politik sentiasa dijadikan lapangan beradu bagi mengambil kesempatan untuk mengaut kepentingan diri masing-masing,” ujarnya.

Ujarnya, paling penting kini adalah mengutamakan isu ekononi, menangani COVID-19 dan menjaga kepentingan rakyat.

“Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menerajui negara haruslah diberi peluang serta sokongan sepenuhnya melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

“Tiada lain harapan rakyat terhadap kerajaan melainkan dapat melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin membela nasib mereka.

“Namun demikian, malang sekali, di ketika kerajaan sedang berusaha melaksanakan peranannya, kacau ganggu dan gugatan terhadap Muhyiddin bukan saja berterusan, malah kian meningkat hari demi hari,” tegasnya.

Katanya, tindakan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu wajar disokong dan dikalungkan ucapan tahniah kerana pilihan kelima-lima pemimpin berkenaan untuk duduk bersama blok pembangkang di ketika Bersatu mengetuai kerajaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.