Chini Memilih: Pusat hemodialisis akan dibina untuk bantu pesakit - Menteri Kesihatan

Sebuah pusat Hemodialisis akan dibina di Chini bagi meringankan beban pesakit buah pinggang di kawasan itu.

Dr Adham turut mengumumkan penambahan kemudahan X-ray di Klinik Kesihatan Chini. -Astro AWANI | Astro Awani
PEKAN:Sebuah pusat hemodialisis akan dibina di Chini bagi memudahkan pesakit buah pinggang di kawasan itu mendapatkan rawatan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, pembinaan pusat berkenaan akan membabitkan kos RM2 juta.

"Kita kena lihat kepada persediaan untuk membuat proses tender... tanah sudah ada cuma proses yang untuk kita buat ialah perakuan spesifikasi bangunan.

"Mesin-mesin hemodialisis yang terkini akan kita letakkan selain akan berikan keselesaan kepada pesakit-pesakit yang perlukan rawatan itu," kata Dr Adham.

Pusat hemodialisis itu jelasnya akan dilengkapi sekurang kurangnya 10 buah mesin dialisis bagi kegunaan rakyat di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Adham turut mengumumkan penambahan kemudahan X-ray di Klinik Kesihatan Chini.

Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan di Klinik Kesihatan Chini di Felda Chini pada Isnin.