10 EXCO Kedah dijangka angkat sumpah esok

Kesemua mereka dilihat memasuki Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman, Alor Setar sekitar jam 9 pagi tadi bagi majlis raptai khas upacara perlantikan EXCO Negeri Kedah.

Kesemua mereka dilihat memasuki Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman, Alor Setar sekitar jam 9 pagi tadi bagi majlis raptai khas upacara perlantikan EXCO Negeri Kedah. - Gambar fail | Astro Awani
10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah dijangka akan hadir dalam majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) esok.

Kesemua mereka dilihat memasuki Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman, Alor Setar sekitar jam 9 pagi tadi dipercayai bagi majlis raptai khas upacara perlantikan EXCO Negeri Kedah.

Wakil rakyat yang disahkan hadir pagi ini adalah empat ADUN PAS, dua bekas ADUN PKR (Bebas), tiga ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan seorang ADUN Umno.

Mewakili PAS, antara yang dilihat memasuki Wisma Darul Aman ialah Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Tokai) Datuk Siti Ashah Ghazali (Merbau Pulas), Datuk Najmi Ahmad (Kupang) dan Wan Romani Wan Salim (Bukit Pinang).

Selain itu, kenderaan yang membawa Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor (Jeneri-PAS) turut dilihat memasuki wisma terbabit pada jam 8.50 pagi.

ADUN Sg Tiang, Datuk Suraya Yaacob dikhabarkan akan menjadi wakil tunggal dari Umno mengisi jawatan EXCO di negeri itu.

Tiga ADUN dari kerajaan Pakatan Harapan campur Bersatu yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut dijangka dikekalkan iaitu Azman Nasrudin (Lunas-Bebas), Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam-Bersatu dan Mohd Firdaus Ahmad (Kuah-Bersatu).

Gabungan EXCO kali ini juga bakal memperlihatkan gabungan ADUN yang berpengalaman menjawat jawatan terbabit selain empat muka baharu iaitu 3 dari PAS dan satu Bebas.

Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN minggu lalu disusuli majlis angkat sumpah Sanusi sebagai Menteri Besar ke-14 pada Ahad.