Yayasan ECM Libra lancar Program Bantuan Makanan COVID-19

Kalimullah berkata, usaha itu hasil sokongan tokoh korporat dan individu terkemuka dengan menyediakan bantuan makanan dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Kumpulan sasar yang dipilih sebagai menerima bantuan adalah mereka yang paling terjejas teruk. - Gambar hiasan | Astro Awani
Yayasan ECM Libra Foundation komited membantu masyarakat terpinggir dan golongan miskin bandar akibat pandemik dengan melancarkan Program Bantuan Makanan COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Kalimullah Hassan berkata, usaha itu hasil sokongan tokoh korporat dan individu terkemuka dengan menyediakan bantuan makanan dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Beliau berkata, yayasan turut bersedia untuk menyumbangkan sebanyak RM1 juta selain turut mendapat sokongan daripada rakan dan kenalan yang lain.

“Kami berjanji untuk mengutip sebanyak RM1 juta dana daripada rakan-rakan dan kenalan lain menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM2 juta.

"Hasil sumbangan ini mampu menyediakan bantuan kepada kira-kira 1,000 hingga 2,000 keluarga dalam tempoh enam bulan hingga setahun," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Sejak ditubuhkan pada 2004, yayasan tersebut menyalurkan lebih RM50 juta bagi membantu masyarakat terpinggir dengan menyediakan pinjaman tanpa faedah, biasiswa dan pembangunan pusat tuisyen serta asrama.

Mengulas lanjut, Kalimullah berkata, yayasan juga tidak meminta atau menerima sebarang bentuk bantuan dana daripada orang ramai.

"Penderma dana hanya dalam kalangan rakan dan kenalan dan mereka menyalurkan terus kepada penerima melalui kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil bahagian," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk memperluaskan agihan bantuan melibatkan kawasan di negeri dan Malaysia Timur.

"Sekarang kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan perjalanan rentas negeri dan kami akan memperluaskan bantuan ini ke kawasan lain termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Sehingga hari ini, pihaknya bekerjasama dengan 10 NGO dengan menyasarkan agihan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang terjejas seperti orang asli, ibu tunggal, kumpulang berpendapatan rendah (B40), anak-anak yatim, pelarian, orang tanpa kewarganegaraan dan pekerja asing," jelasnya.

Sementara itu, Kalimuillah menambah, kumpulan sasar yang dipilih sebagai menerima bantuan adalah mereka yang paling terjejas teruk.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, mereka amat terkesan lebih-lebih lagi yang hilang punca pendapatan.

"Selain itu, ada juga diantara mereka terpaksa pergi ke kedai pajak gadai, menjual kereta dan motosikal dan ada juga melakukan jenayah kecil demi mendapatkan keperluan asas seperti susu bayi dan lampin pakai buang," katanya.