Waytha Moorthy letak jawatan Pengerusi Hindraf, tubuh parti untuk masyarakat India

P. Waytha Moorthy meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan mengumumkan pembentukan parti politik baharu untuk memperjuangkan kepentingan kaum India.

Waytha Moorthy etak jawatan sebagai pengerusi Hindraf untuk beri tumpuan pada parti politik yang diasaskannya, Malaysian Advancement Party. - Gambar fail | Astro Awani
Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P. Waytha Moorthy meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan mengumumkan pembentukan parti politik baharu untuk memperjuangkan kepentingan kaum India.

Menurut Waytha, parti baharu yang diasaskannya ialah Malaysian Advancement Party (MAP) yang telah berjaya didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

MAP, kata beliau, akan berperanan mempertahankan kepetingan kaum India di negara ini khususnya dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, agama dan sosial.

“Sebagai sebuah gerakan rakyat, parti ini akan memainkan peranan penting mengembalikan harapan dan peluang bawah kerajaan Pakatan Harapan supaya masyarakat India Malaysia diwakili secara berkesan,” kata beliau dalam kenyataan yang diedarkan.

Jelas beliau, MAP juga akan menyertai secara positif dan konstruktif bersama-sama dengan Pakatan Harapan untuk memastikan agenda kemakmuran dikongsi bersama di bawah pentadbiran Malaysia Baharu.

Susulan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Hindraf, beliau berkata, pengerusi baharu kumpulan itu akan dilantik dalam satu mesyuarat agung khas.