Warga emas OKU jatuh perigi berjaya diselamatkan

Anggota bomba bertindak menaikkan mangsa dengan menggunakan hos kecil yang diikat dengan kaedah gelung.

Keadaan warga emas OKU yang terjatuh ke dalam perigi sedalam lebih tiga meter di Kampung Malim Nawar Tin. -Astro AWANI | Astro Awani
IPOH:Seorang warga emas lelaki, yang juga orang kelainan upaya (OKU), nyaris maut apabila terjatuh ke dalam perigi sedalam lebih tiga meter di Kampung Malim Nawar Tin, Kampar pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian menimpa P. Ramasamy, 71, pada pukul 7.27 pagi.

"Kami segera mengerahkan pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kampar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata anggota bomba bertindak menaikkan mangsa dengan menggunakan hos kecil yang diikat dengan kaedah gelung (loop) sehingga mangsa berjaya dibawa naik ke atas dengan selamat.

Katanya, operasi tamat pada pukul 8.05 pagi dan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan serta mengalami luka-luka kecil akibat kejadian itu.

-- BERNAMA