Video Intim: Ambil serius teguran PM, henti politik kotor dan kejam - Azmin

Semua pihak perlu ambil serius teguran Perdana Menteri, henti pilih politik kotor dan kejam - Azmin

Kita harus berpegang politik nilai prinsip jelas dan tidak terjebak dalam politik kejam dan jijik, - Azmin - Gambar fail | Astro Awani
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan semua pihak agar tidak terjebak dengan politik kotor dan kejam yang digunakan oleh sesetengah pihak.

Menurut beliau, teguran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung politik kotor berhubung video lucah yang mengaitkan dirinya itu perlu diambil serius.

"Saya telah tegaskan bahawa seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, sekiranya ada perbedaan pendapat sekiranya seseorang itu tidak berjaya memberikan satu khidmat diterima rakyat.

"Jangan memilih jalan kotor dan jijik ini... sebagai sebuah kerajaan baru kita harus berpegang politik nilai prinsip jelas dan tidak terjebak dalam politik kejam dan jijik seperti ini," katanya kepada wartawan ketika ditemui sempena Majlis Jalinan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata,rakyat ingin melihat kerajaan yang dapat memberikan penyelesaian ekonomi dan kos sara hidup dalam negara.

Justeru, tanggungjawab sebagai pemimpin parti perlu digalas demi kerajaan stabil.

Beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa politik sedemikian perlu dihentikan serta-merta kerana tidak diterima rakyat.