Tokan dadah dicekup di Langkawi

Setelah sekian lama menjejaki tokan dadah yang terkenal dengan gelaran Mat Kie, polis berjaya menangkapnya di bangunan bilik sewa di Kampung Darat Benta dekat Kedawang, Langkawi.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB). | Astro Awani
Seorang lelaki dipercayai tokan dadah di Langkawi ditangkap awal pagi tadi.

Tokan dadah terbabit berjaya diberkas di Bangunan Bilik Sewa di Kampung Darat Benta dekat Kedawang, Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Langkawi menyerbu bangunan terbabit pada jam 3.51 pagi.

Katanya, polis turut menemui sebuah beg galas dan beg kecil berzip mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 17.25 gram.

"Polis juga menemui tiga paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 13.75 gram di dalam beg yang sama, selain wang tunai RM10,600 dipercayai hasil jualan dadah," katanya pada Jumaat.

Jelas Mohd Iqbal, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk tindakan lanjut.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB).