Tindakan tegas ke atas penghina Jata Negara - Saifuddin Abdullah

Pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dengan tindakan yang disifatkan sebagai biadap itu.

Menurut Saifuddin, pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dengan tindakan yang disifatkan sebagai biadap itu. - Gambar fail | Astro Awani
PEKAN:Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang menghina dan tidak menghormati Jata Negara.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dengan tindakan yang disifatkan sebagai biadap itu.

“Dalam simbol kebesaran negara, kita harus menghormati dan menggunakannya dengan tertib. Misalnya apabila Jata Negara digunakan penuh dan apabila dipamerkan mesti di atas sekali tidak boleh benda lain di atasnya, apa lagi nak letak wajah siapa.

“Ini perbuatan biadap dan tidak boleh berkompromi, saya yakin PDRM akan siasat dengan rapi dan saya harap siapa sahaja bersalah harus diberi hukuman berat,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Chini pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penghinaan logo jata negara yang tercetus baru baru ini.

Penerbit buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia yang menggunakan visual mirip Jata Negara mendapat perhatian kerana menggunakan gambar yang dikatakan menghina simbol kedaulatan negara itu.

Berdasarkan gambar yang tular di media sosial itu, lukisan mirip Jata Negara itu memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.

Saifuddin turut menegaskan, Jata Negara sepatutnya dipandang tinggi dan dihormati, bukan dipersendakan seperti mana yang berlaku.

“Jata Negara seperti bendera, ini kalau zaman dahulu dalam peperangan bendera ini dipegang.

“Apa pun terjadi, bendera ini tidak boleh jatuh, orang zaman dahulu bila berperang  habis habisan. Hari ini, ada pula yang biadap buat benda tidak senonoh itu,” tegas beliau lagi.