Tidak patuh SOP, 12 premis diarah tutup di Lahad Datu

Premis yang diarah tutup itu membabitkan tujuh kedai runcit dan lima restoran.

Jelas Nasri, setakat ini tiada sebarang kompaun dikeluarkan namun pihak berkuasa akan terus memantau semua premis perniagaan. - Astro AWANI | Astro Awani
Sebanyak 12 premis perniagaan diarah tutup di daerah ini kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Operasi Pematuhan antara pihak pejabat kesihatan daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi bersama, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, operasi itu bermula kira-kira 8 pagi hingga 5 petang itu memeriksa sebanyak 110 premis di sekitar bandar Lahad Datu.

"Hasil daripada pemeriksaan mendapati 12 premis tidak mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

"Premis yang diarah tutup itu membabitkan tujuh kedai runcit dan lima restoran," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Nasri, setakat ini tiada sebarang kompaun dikeluarkan namun pihak berkuasa akan terus memantau semua premis perniagaan di daerah ini bagi memastikan pemilik, pekerja dan pelanggan mematuhi SOP yang diberikan.

"Kesemua premis yang diarahkan tutup itu tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan," katanya.

Tambah Nasri, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi SOP ditetapkan.