Tengku Zafrul temui penggiat industri kreatif mengenai langkah pelan pemulihan ekonomi

Beliau berkata industri kreatif negara adalah antara sektor yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Tengku Zafrul mengadakan pertemuan dengan wakil penggiat industri kreatif pada Khamis. - Facebook Tengku Zafrul | Astro Awani
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengadakan pertemuan dengan wakil penggiat industri kreatif pada Khamis bagi membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan dalam pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan sederhana yang sedang dirangka.

Dalam catatannya di akaun Facebook, beliau berkata industri kreatif negara adalah antara sektor yang terjejas akibat penularan COVID-19.

"Saya menjemput wakil-wakil ini bagi membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan dalam pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan sederhana yang sedang dirangka," katanya.

Tengku Zafrul berkata antara topik yang telah dibincangkan termasuk sokongan untuk meningkatkan industri animasi Malaysia di persada antarabangsa dan galakan penggunaan teknologi industri berkaitan.

Selain itu, turut disentuh adalah sokongan kewangan kepada karyawan yang terkesan seperti pemuzik jalanan dan pelakon serta pembukaan semula pusat seni dengan prosedur operasi standard yang jelas, katanya.

"(Kami turut membincangkan) langkah yang diperkenalkan oleh negara-negara lain bagi membantu industri kreatif mereka," katanya.

Sumber Facebook tzafrulaziz

Tengku Zafrul berkata kementerian itu akan mempertimbangkan pandangan dan saranan yang dikemukakan semalam.

Antara yang hadir dalam pertemuan itu adalah Datuk Ramli Ibrahim dari Sutera Foundation, June Tan (Five Arts Centre), Mohd Jaafar Ismail (Fergana), Jo Kukathas (Instant Cafe Theater), Khairul Ridzwan Annuar (MonoloQue), Mohd Nizam Abd Razak (BoBoiBoy), serta wakil daripada Balai Seni Lukis Negara dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia.

-- BERNAMA