Tarikh peperiksaan kendalian Kementerian Pendidikan dijadual semula

Tarikh peperiksaan pusat dan lain-lain peperiksaan di bawah kendalian Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tahun ini dijadual semula berikutan tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga

Penjadualan semula dibuat setelah meneliti keadaan semasa dan memastikan semua kurikulum mata pelajaran itu dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. - Gambar hiasan | Astro Awani
Tarikh peperiksaan pusat dan lain-lain peperiksaan di bawah kendalian Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tahun ini dijadual semula berikutan tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini bagi mengekang penularan COVID-19.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa penjadualan semula dibuat setelah meneliti keadaan semasa dan memastikan semua kurikulum mata pelajaran itu dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Penjadualan semula itu melibatkan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya bermula 5 Okt hingga 19 Nov, tetapi kini dipinda ke tarikh baharu iaitu 16 Nov hingga 7 Dis, 2020.

Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pula mengikut tarikh asal yang dijadualkan iaitu bermula pada 28 Sept hingga 6 Okt, namun terdapat perubahan subjek peperiksaan Bahasa Melayu ditetapkan pada 28 Sept dan Bahasa Inggeris pada 29 Sept.

Bagaimanapun, Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tiada pindaan iaitu kekal pada tarikh asal 1, 2, 3, 7 dan 8 Sept, menurut kenyataan itu.