Tarif air: Kerajaan Negeri Sembilan akan kemukakan mekanisme kepada KATS

Dengan adanya kutipan yang baik, kita mampu pastikan keperluan untuk meningkatkan tarif air tidak berlaku di Negeri Sembilan, kata Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, keutamaan kerajaan negeri kini adalah bagi mengutip kembali bayaran bil air semasa yang tertunggak daripada pengguna. - Gambar hiasan | Astro Awani
Kerajaan Negeri Sembilan yang akan mengekalkan tarif air, bersedia untuk mengemukakan mekanismenya kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Kita akan membincangkannya dengan menteri (bahawa) kita mempunyai mekanisme lain berhubung perkara itu. Bagi saya (apa) yang penting hari ini ialah pengguna di Negeri Sembilan memberi sokongan untuk membayar bil air semasa mereka supaya kita mampu menjelaskan permasalahan tersebut.

"Dengan adanya kutipan yang baik, kita mampu pastikan keperluan untuk meningkatkan tarif air tidak berlaku di Negeri Sembilan. Jadi, saya ingin mendapat sokongan daripada rakyat negeri ini supaya menjelaskan bil air semasa mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan bersama kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Parlimen Seremban, di sini.

Pada Ahad lepas, Xavier dipetik sebagai berkata mana-mana negeri yang tidak bersetuju melaksanakan kenaikan kadar tarif air diminta mengemukakan mekanisme masing-masing kepada kementeriannya sebagai usaha menyediakan air bersih terawat untuk rakyat.

Katanya ini kerana kos penyediaan dan menguruskan air terawat adalah tinggi dan langkah penyelesaian perlu diambil bagi menangani krisis gangguan air di negeri terbabit.

Aminuddin pada Sabtu lepas dilapor sebagai berkata tarif air di negeri ini masih kekal pada kadar yang sama dan tiada sebarang kenaikan bagi tempoh lima tahun ini dan perkara itu adalah terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, menteri besar itu berkata keutamaan kerajaan negeri kini adalah bagi mengutip kembali bayaran bil air semasa yang tertunggak daripada pengguna, yang merupakan antara isu yang perlu diselesaikan sebelum sebarang kenaikan tarif air dapat dilakukan.

"Walaupun kita menaikkan tarif air dan jika kutipan bil air makin berkurangan, kita akan menghadapi permasalahan yang serupa...ini tidak akan menyelesaikan masalah," katanya sambil menambah kerajaan tidak akan berdepan masalah sekiranya kutipan bil air semasa dan tertunggak mampu mencapai sehingga lebih 90 peratus bayaran.

-- BERNAMA