Sultan Nazrin pangku jawatan YDP Agong

Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan di Istana Negara.

Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan di Istana Negara. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR | Astro Awani
Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung hari ini memutuskan supaya Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh sumber terdekat kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan di Istana Negara di sini.

Sultan-sultan yang hadir mesyuarat lebih satu jam itu ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah; dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

Pada mesyuarat tersebut, keenam-enam Sultan turut menetapkan tarikh bagi mengadakan mesyuarat khas majlis memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Bagaimanapun, sumber memaklumkan butiran lanjut berkenaan mesyuarat hari ini akan dimaklumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.