Status quo kekal di Melaka, sidang Dun ditangguh - Ketua Menteri

Penangguhan itu selepas kerajaan negeri mengambil kira situasi politik semasa di peringkat pusat dan negeri.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam sidang media di Seri Bendahara pada Khamis. - Foto Astro AWANI | Astro Awani
Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 6 Mac depan ditangguhkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam sidang media di Seri Bendahara pada Khamis.

Jelasnya, penangguhan itu selepas kerajaan negeri mengambil kira situasi politik semasa di peringkat pusat dan negeri.

"Kita mengambil kira tentang kuasa politik di peringkat pentadbiran persekutuan dan negeri, oleh kerana itu sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) akan datang kita ambil sedikit masa ke depan untuk memastikan penstabilan politik itu.

"Tarikh sidang Dun ada beberapa tempoh, jadi kita akan pastikan ia tidak melebihi tempoh ditetapkan," katanya.

Ketika ditanya keadaan politik di negeri Melaka, Adly menegaskan bahawa Kerajaan Negeri ketika ini kekal dengan status quo sedia ada kerana barisan Exco kerajaan negeri masih kekal seperti sebelum ini.

"Kita tunggu masa, setakat ini macam saya sebut pentadbiran saya masih dibawah barisan Exco, jadi Exco berperanan jadi jika tiada Exco meletakkan jawatan itu keabsahan pentadbiran sedia ada.

"Jadi saya nasihatkan kepada semua Exco menjalankan tugas seperti biasa dan pastikan kerajaan itu boleh berikan perkhidmatan," jelas Adly.


Malah pertemuannya bersama Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob turut menjelaskan perkara yang sama.

"Semalam kita bincangkan. Tuan Yang Terutama menasihatkan saya fokus tugas-tugas untuk mentadbir kerajaan negeri. Kalau bertanya status kerjaan negeri, kita akan kekalkan status quo sedia ada, semua kekal seperti biasa," katanya lagi.