SOP PKPD Simpang Renggam digunakan di Sungai Lui

Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam digunakan di Sungai Lui, Hulu Langat.

Sekatan jalan raya yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Sungai Lui Batu 21 hari ini. - Foto BERNAMA | Astro Awani
Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Johor turut digunakan di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk melakukan saringan kesihatan terhadap penduduk dari rumah ke rumah.

"SOPnya sama dengan apa yang kita lakukan di Simpang Renggam iaitu tidak boleh keluar masuk kampung. Yang berada di kampung tidak boleh keluar, dan yang berada di luar tidak boleh masuk kampung.

"Polis dan tentera berkawal di pintu masuk. Makanan akan dihantar kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dihantar kepada penduduk. Dalam masa 14 hari saringan akan dibuat dari rumah ke rumah," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Kawasan kedua PKPD selepas Simpang Renggam itu melibatkan penduduk di Batu 21 hingga 24, Sungai Lui, Hulu Langat Selangor.

"Tindakan ini terpaksa kita lakukan kerana terdapat 71 kes positif COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiah di Batu 21.

"Sekatan ini bukan sahaja melibatkan Maahad Tahfiz tersebut, tetapi juga melibatkan tujuh buah perkampungan di sekitar iaitu lima buah perkampungan Melayu dan dua perkampungan orang Asli," tambahnya.

PKPD kedua itu melibatkan kira-kira 3,000 penduduk dengan 600 buah rumah.

Khamis lalu, Ismail mengumumkan dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD selepas 61 penduduknya positif COVID-19.

Kawasan Batu 21 hingga 24 Sungai Lui, Hulu Langat pula menjadi PKPD kedua dan berkuatkuasa pada 12 malam Ahad.