Seorang maut, seorang koma, dua lagi cedera dipanah petir ketika bermain bola

Seorang maut, seorang koma dan dua lagi cedera selepas dipanah petir ketika bermain bola sepak.

Gambar (tular) di laman sosial dipercayai lokasi kejadian di Padang Bola Sepak U13 Setia Alam. | Astro Awani
Seorang lelaki warganegara Myanmar maut manakala tiga lagi cedera selepas di panah petir ketika bermain bola sepak di Setia Alam di sini, pada petang Ahad.

Kejadian dipercayai berlaku kira kira jam 5.13 petang ketika mangsa bersama rakan-rakannya yang lain bermain bola sepak di sebuah padang di Seksyen U13.

Bagaimanapun ketika bermain, kesemua mangsa telah terkena renjatan susulan panahan petir di padang terbabit, lalu rebah.

Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, salah seorang daripada mangsa yang dikenali sebagai Rohimullah, 19 tahun, maut di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa Kamaluddin Abu Tahir, 30, dan Huessein Ahmad Asod Ali, 20, belum diketahui keadaannya.

Sementara seorang lagi mangsa, Abdul Rahman Abul Hussin, 30, kini berada dalam keadaan koma di hospital yang sama.