Selepas Rohingya timbul Chin, di manakah kesudahannya?

Pendedahan bahawa terdapat 1,000 pendatang tanpa izin dari etnik Chin di Pudu, Kuala Lumpur semakin memanaskan isu pendatang tanpa izin di negara kita.

Pendedahan bahawa terdapat 1,000 pendatang tanpa izin dari etnik Chin di Pudu, Kuala Lumpur semakin memanaskan isu pendatang tanpa izin di negara kita. - Gambar fail | Astro Awani
KETIKA isu pendatang tanpa izin etnik Rohingya masih lagi panas, sekarang timbul pula satu isu baru yang melibatkan satu lagi etnik yang memasuki negara tanpa izin.

Pendedahan bahawa terdapat 1,000 pendatang tanpa izin dari etnik Chin di Pudu, Kuala Lumpur semakin memanaskan isu pendatang tanpa izin di negara kita.

Sebelum ini tidak ramai yang menyedari kewujudan mereka di tengah-tengah ibu negara tetapi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memaksa mereka menzahirkan diri mereka.

Malah kumpulan etnik yang berasal dari Myanmar ini memiliki persatuan mereka sendiri seperti Persatuan Pelarian Chin dan menurut ketua mereka James Bawi Thang Bik terdapat 2,000 etnik ini di kawasan tersebut dan dan 1,000 dari mereka tidak memiliki sebarang dokumen kerana menunggu pendaftaran dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). Justeru itu, seperti etnik Rohingya sudah tentu mereka bergantung kepada kad UNHCR sebagai dokumen pengenalan.

Jika etnik Rohingya dengan kad UNHCR mereka telah mencemaskan kita, kehadiran etnik Chin ini telah turut menimbulkan pelbagai persoalan. Di antaranya bagaimana mereka dapat membolosi sempadan negara kerana bilangan mereka bukanlah kecil. Menurut Chin Students Association terdapat 42,710 etnik Chin berada di Malaysia.

BACA: Pemasangan kawat duri di Pudu langkah perkemas PKPB

Justeru itu rakyat sudah tentu menuntut agar kerajaan melakukan sesuatu untuk memastikan tidak ada lagi pendatang tanpa izin yang dapat memasuki negara kita tanpa dikesan.

Mungkin hari ini yang dapat membolosi adalah mereka yang melarikan diri dari penindasan atau kesempitan hidup tetapi di masa akan datang mungkin peluang ini digunakan oleh anasir-anasir yang mahu mengancam kestabilan negara kita.

Rakyat juga perlu tahu berapa banyak lagi kumpulan etnik yang telah memasuki negara secara haram. Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi penjelasan siapa mereka dan bagaimana kemasukan mereka boleh berlaku.

Negara kita kelihatan sentiasa menghadapi masalah dengan warganegara asing yang sama ada memasuki secara haram atau yang memasuki secara halal tetapi enggan meninggalkan negara seperti lebih 76,258 warga China yang hilang. Kerajaan perlu telus mendedahkan kesilapan-kesilapan sebelum ini agar ia tidak akan berulang kembali di samping meredakan kebimbangan rakyat. Satu Kertas Putih wajar dibentang di Parlimen untuk memberikan penjelasan kepada rakyat.

Ketika PKP kita diberitahu kawalan ke atas lorong-lorong tikus di sempadan negara telah dipertingkatkan tetapi diharap ia bukan ketika PKP sahaja tetapi sepanjang masa. Operasi-operasi ke atas pendatang tanpa izin yang dipergiatkan ketika PKP adalah juga amat dialu-alukan dan jangan diberhentikan.

Penahanan pendatang tanpa izin ini dikecam oleh badan-badan seperti Amnesty International namun ia perlu dilakukan demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Mereka yang lantang itu perlu juga melihat kesan kebanjiran warga asing ini kepada rakyat Malaysia kerana terdapat kawasan-kawasan perumahan kos rendah yang dikuasai oleh mereka walapun tidak memiliki sebarang dokumen yang sah. Rakyat tempatan pula yang terasa asing di negara sendiri.

Walau bagaimanapun selagi pendatang tanpa izin ini bebas ke mana-mana tanpa sebarang dokumen yang sah maka selagi itu mereka tidak akan dapat dikawal. Kad UNHCR tidak memadai. Mereka perlu didaftarkan sebagai langkah pertama sebelum menempatkan mereka di negara ketiga. Malang sekali warganegara tempatan akan didenda jika didapati tidak membawa dokumen pengenalan seperti MyKad tetapi pendatang tanpa izin bebas ke mana-mana.



* Penulis ialah bekas Exco Perumahan Negeri Selangor (2008 – 2018), kini Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat dan Perumahan (REACH).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.