Sekolah di Malaysia perlu terap model pembelajaran hibrid

Walaupun memasuki fasa baharu susulan pembukaan semula sesi persekolahan namun pembelajaran secara dalam talian perlu diteruskan.

Dr Rahimah Jamaluddin berkata, kerajaan perlu memikirkan model pembelajaran hibrid iaitu gabungan antara pembelajaran secara atas dalam talian dan bersemuka. | Astro Awani
Walaupun memasuki fasa baharu susulan pembukaan semula sesi persekolahan namun pembelajaran secara dalam talian perlu diteruskan.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rahimah Jamaluddin berkata, kerajaan perlu memikirkan model pembelajaran hibrid iaitu gabungan antara pembelajaran secara dalam talian dan bersemuka.

Menurutnya, ini adalah peluang terbaik bagi kerajaan untuk melihat kaedah baharu ini sebagai mekanisme terbaik kepada pelajar.

"Kita perlu ada model yang lebih fleksibel merangkumi kedua-dua kaedah ini pada masa yang akan datang.

"Kita tidak boleh tinggalkan pembelajaran secara dalam talian," katanya pada Astro AWANI ketika ditemubual menerusi Skype, di sini pada Khamis.



Semalam, Kementerian Pendidikan mengumumkan, semua sekolah akan dibuka secara berperingkat bermula 15 Julai dengan mengaplikasikan tiga jenis model operasi.

BACA: Sekolah mula dibuka sepenuhnya berperingkat bermula 15 Julai

BACA: Sekolah akan mula dibuka sepenuhnya, ini 13 perkara yang anda perlu tahu

BACA: Tiga model pembukaan semula sekolah ikut saranan KKM, MKN

Model satu sesi adalah bagi sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, selepas mengambil kira penjarakan sosial

Sementara model kedua pula adalah bagi sekolah sedia ada yang sudah beroperasi secara dua sesi atau pun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.

Model ketiga iaitu model penggiliran adalah sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi.

Jelas Dr Rahimah, para guru juga perlu membudayakan kaedah pembelajaran hibrid kerana ia boleh dimanfaatkan ketika cuti sekolah.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sejak sekolah dibuka kepada pelajar tingkatan lima dan enam, rekod kehadiran pelajar menyaksikan 92.4 peratus pada minggu pertama.