SARES sinari penduduk tiga rumah panjang

Sarawak menyasarkan untuk mencapai elektrifikasi sepenuhnya menjelang tahun 2025 dan kini negeri itu telah mencapai liputan elektrik 24 jam.

Menerusi SARES, tiga buah rumah panjang di Marudi kini menikmati bekalan elektrik 24 jam. - Foto Astro AWANI | Astro Awani
Sekitar 827 penduduk daripada tiga buah rumah panjang di Marudi tidak perlu lagi fikirkan mengenai bekalan elektrik.

Mereka kini mereka boleh menikmati bekalan elektrik 24 jam hasil Pelaksanaan projek Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

Kawasan terlibat ialah Long Pahlo, Kampung Batu Belah Long Patan dan Long Ukok.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata penduduk rumah panjang ini terima manfaat projek sistem janakuasa solar bernilai RM4.4 juta di bawah Skim SARES Fasa 2B.

"Program ini akan pasti diteruskan untuk pastikan sasaran kerajaan Sarawak untuk memastikan seluruh isi rumah dapat bekalan eletrik luar bandar menjelang tahun 2025 jadi kenyataan," katanya pada Majlis Penyerahan Hak milik Projek SARES kepada tiga kampung terlibat di Long Ukok, Tutoh, Marudi.

Ketika ini sekitar 91-peratus penduduk luar bandar telah mencapai liputan elektrik 24 jam.

Kerajaan Sarawak telah meluluskan Pelan Induk Elektrik Luar Bandar Sarawak dengan peruntukan khas RM 2.37 bilion untuk 2019 dan 2020 bagi mempertingkat liputan bekalan elektrik kepada 97 peratus.

Projek SARES merupakan inisiatif kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan dilaksanakan oleh Sarawak Energy untuk membekalkan elektrik 24 jam kepada penduduk di kawasan pedalaman.

Ia sejajar Program Transformasi Luar Bandar Sarawak yang bertujuan merapatkan jurang perbezaan di antara penduduk luar bandar dan bandar dalam menikmati kemudahan utiliti asas itu.