Sarawak: Tiada kes positif COVID-19 baharu, ini 5 perkara penting kenyataan JPBNS

Sarawak hari ini tidak mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 terbaharu menjadikan jumlah kes positif di negeri itu kekal dengan 678 kes setakat ini.

Empat daerah masih berada dalam kategori kuning melibatkan Serian, Lundu, Bau dan Samarahan. | Astro Awani
KUALA LUMPUR:Sarawak hari ini tidak mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 terbaharu, menjadikan jumlah kes positif di negeri itu kekal dengan 678 kes setakat ini.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Sabtu, 12 kes baharu dilapor pulih dan discaj dari hospital.

Lapan kes melibatkan kes dari Hospital Umum (Sarawak), tiga kes dari Hospital Bintulu manakala satu kes dari Hospital Sungai Buloh.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat ini adalah 591 kes atau 87.17 peratus.

Berikut merupakan lima perkara penting kenyataan JPBNS pada Sabtu;

1) Sehingga kini, 10 kluster COVID-19 dilaporkan masih aktif di Sarawak.

2) 68 kes masih menerima rawatan di wad isolasi dan jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.80 peratus.

3) Hari ini dua kes Person Under Investigation (PUI) baru dilaporkan dan tiga kes masih menunggu ujian makmal.

4) Kuching satu-satunya zon merah COVID-19 yang dilaporkan setakat ini.

5) Empat daerah masih berada dalam kategori kuning melibatkan Serian, Lundu, Bau dan Samarahan.