Sanusi mulakan tugas sebagai Menteri Besar Kedah

Ketibaan Sanusi disambut Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Armishah Siraj.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengetik kad perakam waktu sebagai tanda 'clocked in' semasa memulakan tugas pada hari pertama di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman hari ini. - Foto BERNAMA | Astro Awani
Menteri Besar Kedah yang baharu, Muhammad Sanusi Md Nor memulakan tugasnya secara rasmi hari ini.

Beliau tiba di Pejabat Menteri Besar Kedah, Wisma Darul Aman, Alor Setar kira-kira jam 8.43 pagi sebelum mengetik kad perakam waktu pertamanya sebagai Menteri Besar.

Ketibaan Sanusi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, disambut Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Armishah Siraj.

Beliau kemudiannya meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan Pejabat Menteri Besar sebelum memulakan tugasan rasmi pertamanya sebagai Menteri Besar Kedah.

Sanusi turut memgumumkan Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah yang baharu.

Semalam, beliau diumumkan sebagai Menteri Besar yang baharu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim selepas menerima perkenan daripada Sultan Kedah bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Perlantikan itu dibuat berlandaskan peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah selepas Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat itu menerima sokongan majoriti dari ADUN-ADUN di negeri itu.