Rosmah minta 'sumbangan' RM187.5 juta daripada syarikat urus projek solar hibrid - Saksi

Saksi ke-16 pendakwaan, Rayyan Radzwill Abdullah, berkata, perkara itu disampaikan pembantu Datin Seri Rosmah Mansor, iaitu Datuk Rizal.

Rosmah, yang juga isteri Najib berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta, dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi. -Bernama | Astro Awani
Datin Seri Rosmah Mansor didakwa meminta sumbangan RM187.5 juta, atau 15 peratus daripada keseluruhan RM1.25 bilion kos projek solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak, Mahkamah Tinggi diberitahu pada Selasa.

Saksi ke-16 pendakwaan, Rayyan Radzwill Abdullah, yang juga Pengarah Nanocarb Technology Sdn Bhd berkata, perkara itu disampaikan pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor dalam satu pertemuan pada awal 2016.

Rayyan, yang juga rakan perniagaan Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, memberitahu Mahkamah Tinggi, bahawa Rizal memaklumkan kepadanya dan Saidi bahawa peratus sumbangan itu dinaikkan kepada 15 peratus, atas permintaan Rosmah sendiri.

Memberi keterangan lanjut, Rayyan berkata, Saidi merasakan jumlah itu agak tinggi dan memohon agar dikurangkan sedikit memandangkan Saidi perlu menjaga lebih ramai orang lagi.

Selain itu, katanya lagi, Rizal juga telah meminta bahagiannya sebanyak RM5 juta setahun, yang mana ia dipersetujui Saidi.

Menurut saksi itu lagi, Rizal kemudian menghubungi beliau, mengatakan jumlah sumbangan RM187.5 juta itu adalah muktamad, dan tidak boleh dikurangkan lagi.

Rayyan berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-16 perbicaraan kes Rosmah.

Rosmah, yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta, dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM).

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.