RM4.63 bilion harta berjaya diselamatkan daripada kebakaran - JBPM

Jumlah harta diselamatkan daripada kebakaran dari Januari hingga pertengahan Mac tahun ini berjumlah sebanyak RM4.63 bilion.

PUTRAJAYA:Sejumlah RM4.63 bilion harta telah berjaya diselamatkan daripada kebakaran dari tempoh Januari hingga pertengahan Mac tahun ini, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, aset tersebut merupakan aset komersial dan juga aset kerajaan.

“Ini merupakan aset-aset komersial dan aset-aset kerajaan melibatkan bangunan kerajaan yang sempat dan berjaya kami selamatkan,” dalam satu sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat JBPM pada hari Rabu.

Namun, jelas beliau kerugian akibat kebakaran pula pada tempoh yang sama berjumlah RM436.3 juta.

Kata Mohammad Hamdan, sebahagian besar kebakaran di Malaysia dipercayai dipercayai berpunca dari kebakaran hutan, yang disebabkan oleh fenomena Equinox serta kemarau panjang.

Sementara itu, tambah beliau, sepanjang tempoh tersebut JBPM telah menerima sebanyak 20,916 panggilan kecemasan.

Daripada jumlah itu, 266 panggilan melibatkan kebakaran manakala sebanyak 10,582 adalah non-fire calls, panggilan kecemasan yang melibatkan perkhidmatan mencari dan menyelamat dan juga khidmat manusia.

Terdahulu, Mohammad Hamdan telah menyampaikan Pingat Kebesaran kepada 124 penerima dalam majlis istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM.

Antara anugerah yang diberi termasuk Pingat Ketua Pengarah (PKP), Pingat Jasa Bomba (PJB), dan Pingat Setia Bomba (PSB).

Daripada jumlah itu, seramai 17 pengamal media elektronik dan cetak diberi anugerah Pingat Cemerlang Bomba (PCB) sebagai tanda penghargaan jabatan tersebut kepada agensi media terlibat dan antara yang menerima anugerah tersebut ialah wartawan Astro AWANI, Hilal Azmi.