Rentas negeri: Mohon kebenaran polis sebelum beli tiket penerbangan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa sebarang cubaan merentas negeri sama ada melalui laluan udara atau darat adalah tidak dibenarkan melainkan mendapat kebenaran polis.

Ismail Sabri berkata mereka yang berniat merentas negeri melalui laluan udara, perlu minta kebenaran daripada polis terlebih dahulu sebelum beli tiket penerbangan. - Gambar hiasan | Astro Awani
Orang ramai perlu memohon kebenaran polis sebelum membeli tiket penerbangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri menegaskan bahawa sebarang aktiviti merentas negeri sama ada melalui laluan udara atau darat adalah tidak dibenarkan melainkan mendapat kebenaran polis.

“Rentas negeri di dalam Semenanjung adalah tidak dibenarkan kecuali ada kebenaran polis.

“Begitu juga rentas negeri dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak (dan sebaliknya) juga tidak dibenarkan, melainkan ada kebenaran polis.

“Saya ingin menasihatkan kepada mereka yang berniat rentas negeri melalui laluan udara, minta kebenaran daripada polis terlebih dahulu sebelum beli tiket penerbangan,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Selasa.

Katanya, mereka yang sudah membeli tiket tetapi tidak mempunyai kebenaran polis akan disekat daripada menaiki pesawat.

“Di sekatan jalan raya berdekatan lapangan terbang, mereka akan diarah untuk berpatah balik oleh polis.

“Akhirnya, mereka yang terpaksa menanggung kerugian kerana membeli tiket tetapi tidak mendapat kebenaran untuk terbang merentas negeri,” katanya.


Bagi penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang sudah mendapat kebenaran polis, penumpang akan disaring sejurus tiba di lapangan terbang negeri masing-masing.

“Individu yang didapati positif COVID-19 akan dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Jika didapati negatif, mereka dibenarkan pulang ke rumah tetapi wajib menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

“Bagi yang ke Sarawak, mereka akan disaring sekali lagi pada hari ke-10 kuarantin wajib,” katanya.