Ramai akui pemimpin lebih pentingkan drama politik, bukan isu rakyat - Tinjauan

Kenyataan dibuat berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Astro AWANI pada Sabtu menerusi pungutan suara ataupun poll di media sosial.

Majoriti rakyat Malaysia mengakui bahawa sesetengah pemimpin negara sekarang lebih mementingkan kepada drama politik dan tidak lebih menumpukan kepada isu rakyat serta kesan pandemik COVID-19 yang berlaku. - Gambar fail/BERNAMA | Astro Awani
MAJORITI rakyat Malaysia mengakui bahawa sesetengah pemimpin kini lebih mementingkan drama politik dan tidak menumpukan lebih kepada isu rakyat serta kesan pandemik COVID-19 yang berlaku.

Kenyataan ini dibuat berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Astro AWANI pada Sabtu menerusi pungutan suara ataupun ‘poll’ di setiap platform media sosial termasuk Facebook, Twitter dan Telegram.

Melihat kepada tinjauan yang dilakukan di laman Facebook rasmi Astro AWANI, majoriti besar iaitu kira-kira 93 peratus daripada 75,000 responden bersetuju bahawa tinjauan yang dirujuk secara umum itu berpendapat bahawa permainan politik masih lagi secara jelas dilihat.

93 peratus daripada 75,000 responden bersetuju bahawa tinjauan yang dirujuk secara umum itu berpendapat bahawa permainan politik masih lagi secara jelas dilihat.

Ketika Malaysia sedang diduga dengan pandemik COVID-19, kebanyakan rakyat Malaysia mengakui pemimpin politik sempat mementingkan senario tersendiri dan bukan mengambil berat tentang isu rakyat.

Ini antara penjelasan yang dibuat oleh netizen menerusi ruangan komen di Facebook :

Ada yang berpandangan bahawa para pemimpin sepatutnya berganding bahu dalam memikirkan cara untuk mengatasi krisis COVID-19.

“Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berganding bahu untuk menangani setiap permasalahan rakyat dan negara. Bukan pemimpin yang tidak habis-habis mengejar pangkat, kuasa demi kepentingan sendiri,” menurut pengguna akaun bernama Jeff Cahaya Elektrikal.

Menurut Wasoo Thivagaran pula, beliau melihat hanya sebilangan kecil wakil rakyat yang tampil membantu orang ramai ketika waktu sukar ini, manakala yang lain dilihat banyak terlibat dalam drama politik.

“Kami memilih anda untuk melakukan perkhidmatan kepada orang ramai tetapi anda semua telah melupakan orang ramai dan menumpukan perhatian kepada cara menjaga keselamatan diri,” tambahnya.

Trend sama turut dilihat bagi pengguna Twitter, iaitu daripada 9,733 undian yang dilakukan, sebanyak 91.6 peratus bersetuju bahawa beberapa wakil negara ini tidak menumpukan isu rakyat yang kini diberi ujian menghadapi COVID-19.

Sebanyak 91.6 peratus bersetuju bahawa beberapa wakil negara ini tidak menumpukan isu rakyat yang kini diberi ujian menghadapi COVID-19.

Begitu juga, di akaun Telegram yang turut memberi pendapat yang sama bahawa drama politik bukan perkara utama yang boleh diketengahkan pada waktu ini kerana negara dikejutkan dengan sesuatu krisis, jadi isu kebajikan rakyat adalah yang paling perlu diutamakan.

Ini diperlihatkan sendiri apabila seramai 89 peratus daripada 3,400 yang menjawab ‘poll’ tersebut menjawab ‘ya’ iaitu sebagai tanda setuju dengan soalan yang diberikan oleh Astro AWANI.

Seramai 89 peratus daripada 3,400 yang menjawab ‘poll’ tersebut menjawab ‘ya’ tanda setuju di akaun Telegram.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mencatatkan sebanyak 7,819 jumlah kes positif COVID-19 selepas terdapat 57 kes baharu lagi dilaporkan setakat 12 tengah hari Ahad.

Manakala lagi seramai sembilan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, dua (2) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad pula adalah sebanyak 6,353 kes iaitu 81.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

BACA: COVID-19: 57 kes baharu, 23 kes sembuh

BACA: COVID-19: Rakyat Malaysia bimbang untuk keluar rumah

B
ACA: Jalan terakhir tamatkan krisis politik, pulangkan kuasa memilih kepada rakyat