Pusat bebas cukai terkenal kini suram, pendapatan peniaga merosot

Suasana pada musim cuti kali ini amat berbeza disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor sebelum ini sentiasa meriah dengan kedatangan pelanggan dari seluruh negara. Gambar fail/ Bernama | Astro Awani
Kemeriahan di pusat perniagaan di Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor di sempadan Malaysia-Thailand terutama pada musim cuti sekolah dan umum kini hanya tinggal kenangan.

Suasana pada musim cuti kali ini amat berbeza disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Akibatnya, peniaga di kawasan itu terjejas teruk kerana mengalami kerugian disebabkan penurunan hasil jualan berikutan ketiadaan pelanggan seperti biasa.

Peniaga pakaian, Zamilah Poksu, berkata kebanyakan pelanggan sebelum ini adalah orang luar termasuk yang datang dari Lembah Klang.

"Sekarang memang tiada orang dari sana. Biasanya masa cuti sekolah, cuti umum dan musim perayaan, memang orang sangat ramai di sini.

"Jualan merosot teruk kali ini, harapnya keadaan akan kembali pulih dan perniagaan kami akan dapat bertahan," katanya kepada Astro AWANI.

Seorang lagi peniaga Norakilah Lokman yang mempunyai kedai menjual peralatan dapur, berkata buat masa sekarang mereka hanya mengharapkan pelanggan tempatan namun bilangannya amat terhad.

"Ada juga peniaga yang yang melakukan penjualan secara dalam talian, namun ia tidak serancak jualan sebelum ini terutama sebelum Aidilfitri.

"Selain masalah pelanggan, peniaga kini juga berhadapan masalah mendapatkan bekalan barangan dari Thailand.

"Kesemua pintu masuk sempadan termasuk di Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Bukit Bunga masih lagi ditutup," katanya.