Pungutan suara: Ramai berpendapat tempoh PKP wajar dilanjutkan

Ramai dalam kalangan pembaca Astro AWANI berpendapat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijangka berakhir pada 14 April ini wajar dilanjutkan.

Pasukan keselamatan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara bagi menghalang pergerakan orang ramai tanpa alasan yang munasabah. - Gambar fail | Astro Awani
Ramai dalam kalangan pembaca Astro AWANI berpendapat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijangka berakhir pada 14 April ini wajar dilanjutkan.

Berdasarkan pungutan suara yang dilakukan Astro AWANI di Twitter pada Ahad, 79.7 peratus daripada 30,849 responden memilih untuk tempoh PKP dilanjutkan lagi, sementara 20.3 peratus lagi berpendapat sebaliknya.




Trend yang sama juga dilihat di aplikasi Telegram apabila 85 peratus daripada 3,200 responden mahu tempoh tersebut dilanjutkan.

Undian Wajarkah PKP ini dilanjutkan? mula dibuka pada pukul 3.30 petang Ahad sebelum berakhir pukul 6 petang Isnin.

Pandemik COVID-19 kini merekodkan lebih 1.17 juta kes dengan 64,551 kematian di seluruh dunia.



Di Malaysia, setakat jam 12 tengah Isnin, sebanyak 131 kes positif baharu COVID-19 direkodkan yang menjadikan kumulatif kes positif adalah sebanyak 3,793 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini memberi amaran bahawa Malaysia bakal berdepan dengan tsunami wabak itu sekiranya rantaian virus itu gagal diputuskan dalam tempoh PKP ini.

Rata-rata daripada responden menyifatkan tempoh PKP perlu dilanjutkan selepas melihat angka pesakit COVID-19 yang semakin meningkat.



"Selesaikan terus PKP supaya kes jangkitan terbaharu sifar, sekiranya PKP tidak dilanjutkan, semua akan berbalik kepada rutin harian dan ia akan meningkatkan risiko jangkitan itu," tulis Che Wan Abdul Hafiz sebagai reaksi di laman sosial Facebook.

Seorang lagi netizen, Puteri Hasnida memberitahu, adalah mustahil untuk memastikan orang ramai tidak berkumpul seperti mengadakan kenduri dan menyertai perhimpunan awam melainkan PKP dilanjutkan.

Katanya, selagi Malaysia tidak menyaksikan penurunan, ibu bapa juga tidak akan yakin untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Di sebalik senario itu, tidak kurang juga yang menyatakan kebimbangan mengenai pembayaran gaji.

"Bahaya kalau kena lanjut lagi. Tak tahu berapa lama syarikat boleh tanggung," kata Akmal Aziq Baharin dalam Twitternya.



Seorang lagi netizen, Nadraja Gopala Krishnan turut membangkitkan persoalan yang sama.

"Mereka yang kerja kerajaan tentunya tidak ada masalah, gaji tetap berjalan. Senang cerita. Bagaimana pula dengan pekerja swasta?' soalnya.