Politik Sabah: Bung Mokhtar umum kerusi ditandingi UMNO hari ini

PRN Sabah pada kali ini menyaksikan 73 kerusi akan dipertandingkan berbanding 60 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

PRN Sabah pada kali ini menyaksikan 73 kerusi akan dipertandingkan berbanding 60 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. | Astro Awani
Mesyuarat Perhubungan UMNO Sabah pada hari ini dilihat menarik, selepas Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin dijangka mengumumkan jumlah kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Seperti yang dilaporkan Astro AWANI semalam, Bung selaku Ahli Parlimen Kinabatangan itu telah mengumumkan dirinya bakal bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Malah, mesyuarat dan pengumuman hari ini turut dilihat akan membalas kenyataan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yang sebelum ini mendedahkan akan bertanding di 45 kerusi pada PRN nanti.

Hasrat Bersatu Sabah menerusi Ketua Pimpinannya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor itu bagaimanapun ditempelak ramai pemimpin UMNO pusat sehingga melabelkan tindakan itu tidak wajar dan bukannya melalui rundingan mutlak.


Bukan itu sahaja, tindakan pengumuman Hajiji itu turut mendapat reaksi Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Junz Wong yang mendakwa, perebutan kerusi berkenaan sudah dijangka berlaku dan sukar dielak.

Untuk rekod, PRN Sabah pada kali ini menyaksikan 73 kerusi akan dipertandingkan berbanding 60 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.


Melihat perkembangan di pihak pembangkang di Sabah, desas-desus mengatakan terdapat sekurang-kurangnya tiga kem melibatkan UMNO Sabah, Bersatu Sabah dan Gabungan Tan Sri Musa Aman.

BACA: Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan

BACA: Musa Aman tolak keputusan bubar DUN kerana bahayakan nyawa rakyat Sabah


Bagaimana sama ada ketiga-tiga parti politik ini bakal bekerjasama untuk menentang sekutu rapat parti pemerintah sebelum ini, Parti Warisan Sabah (Warisan), UPKO dan Pakatan Harapan (PH) masih menimbulkan tanda tanya.

Bahkan, timbul satu blok lagi di sebelah pembangkang apabila bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman mengetuai sebuah parti tempatan, Parti Cinta Sabah (PCS) yang setakat ini, belum menyatakan penyertaan mereka pada PRN negeri.

Umum mengetahui pada 29 Julai lalu, Musa yang merupakan ADUN Sungai Sibuga membuat perhitungan mempunyai jumlah majoriti mudah bersama 33 wakil rakyat lain untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Bagaimanapun, usaha terbabit tidak berjaya apabila Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertindak mengumumkan pembubaran DUN sekali gus membuka ruang kepada PRN diadakan.



Debaran PRN Sabah dijangka bertambah menarik bermula Isnin ini selepas ura-ura mengatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan tarikh penetapan calon dan hari mengundi.

Pada PRU-14 dahulu, BN di Sabah memenangi 29 kerusi daripada 60 yang dipertandingkan dengan sekutu Warisan, UPKO dan PH turut memiliki jumlah sama.

Dua kerusi yang lain telah dimenangi oleh Parti STAR, diketuai oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Jefrey Kitingan.